Ahad, 16 Disember 2018

Mat Sabu pula pelawa wakil rakyat UMNO sertai PAN

ISMA WEB

Barisan Nasional kini umpama 'patah pinggang dan tulang belakang'


IPOH – Walaupun, mendapat bantahan daripada beberapa pemimpin parti tamak haloba DAP berhubung kemasukan bekas wakil rakyat UMNO ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), perkara itu tidak diendahkan anggota gabungan Pakatan Harapan (PH), Parti Amanah Negara (PAN).

Sebaliknya, PAN hari ini mempelawa wakil rakyat dan ahli UMNO menyertai parti itu, sekali gus menjadi sebahagian daripada kerajaan PH.

Tetapi, sebagaimana Bersatu yang mengenakan tapisan ketat kepada wakil rakyat UMNO yang mahu menyertainya, Presiden PAN, Mohamad Sabu yang membuat pelawaan itu berkata, PAN perlu meneliti setiap permohonan yan dibuat.

Beliau mengakui ada wakil rakyat UMNO yang mengintai PAN, selepas UMNO kini dilihat mula ditinggalkan ahli dan wakil rakyatnya.

“Memang ada yang intai dan kita mengalu-alukan mereka. Tapi kita akan melihat permohonan itu ‘case by case’.

“Kita juga akan melihat jika mereka menyokong rahmatan lil alamin (rahmat bagi seluruh alam) dan mengakui bahawa perbuatan rasuah itu tidak betul,” katanya dalam ucapan penggulungan dan penangguhan Konvensyen Amanah Nasional 2018 di sini, hari ini.

Mohamad juga secara sinis berkata, Barisan Nasional (BN) kini umpama ‘patah pinggang dan tulang belakang’ selepas semakin ramai anggota, pemimpin dan wakil rakyat UMNO yang menjadi komponen terpentingnya meninggalkan parti itu.

“MCA pula tinggal satu kerusi, MIC ada dua tapi satu lagi akan hilang (Cameron Highlands),” katanya.

Rabu lalu, hampir keseluruhan barisan kepimpinan UMNO Sabah, termasuk lima Ahli Parlimen, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri dan dua senator, mengumumkan keluar parti dengan alasan parti itu tidak mempunyai hala tuju yang jelas.

Semalam, enam lagi wakil rakyat UMNO meninggalkan parti, dan mengisytihar diri sebagai Bebas. 

Semua wakil rakyat UMNO itu menyatakan sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan dijangka menyertai Bersatu tidak lama lagi.

Keadaan itu tidak disenangi pemimpin DAP, di mana setakat ini dua daripada Ahli Parlimennya mengecam Bersatu dan Dr Mahathir kerana menerima wakil rakyat UMNO ke dalam pakatan itu.

Terbaharu, Ahli Parlimen Petaling Jaya (Bebas), Maria Chin Abdullah yang menang pilihan raya umum lalu atas tiket PH, turut menyuarakan rasa tidak senang susulan fenomena itu.


Tiada ulasan: