Khairuddin bidas Johari, dakwa ada usaha guling Dr M
MALAYSIAKINI
Penyokong setia Dr Mahathir Mohamad, Khairuddin Abu Hassan hari ini
mendakwa terdapat perancangan untuk menggulingkan perdana menteri, Dr
Mahathir Mohamad.
"Saya dapat menghidu tindakan tidak
bertanggungjawab puak-puak yang kecewa tidak dapat jawatan yang sedang
berusaha untuk menjatuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku perdana
menteri.
"Namun, puak-puak 'tahi kucing' ini terlalu kerdil bagi
saya. Bukan niat saya untuk bersikap angkuh tetapi kalangan ini boleh
dilipat-lipat masuk dalam kocek seluar saja.
"Mereka ini 'pot tin' kosong yang pandai bercakap tapi tak boleh bekerja," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau
mengulas kritikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah,
Johari Abdul terhadap Mahathir yang didakwa seperti tidak tahu berbuat
apa-apa dan hanya menghabiskan masa ke luar negara selepas Pakatan
Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum (PRU) lalu.
Johari
semalam turut berkata kegagalan memahami konsep Malaysia baru
menyebabkan kerajaan PH kini seolah-olah mengulangi kesilapan kerajaan
terdahulu dan sekali gus menyebabkan rakyat kecewa.
Johari
turut menggesa Mahathir agar berhenti bermain isu Najib sebagai
'pencuri' sedangkan bekas Perdana Menteri itu sudah dihadapkan ke
mahkamah.
“Dr Mahathir hanya mengulangi ucapan yang sama bahawa
Najib mencuri. Cukuplah, dia pun sudah ke mahkamah, biar mahkamah yang
tentukan," kata Johari.
'Jangan kurang ajar dengan PM'
Mengulas
lanjut Khairuddin meminta pihak yang gemar mengkritik perdana menteri
supaya tidak bersikap 'kurang ajar' dan tidak melebih-lebih dalam
mengeluarkan kenyataan.
"Kalangan yang tidak mahu mengiktiraf kerja kuat Tun Dr Mahathir tolong jangan 'kurang ajar' dan usah melebih sangat.
"Perdana
menteri yang sedang bertungkus lumus siang dan malam untuk membangunkan
semula negara yang dirosakkan oleh kerajaan kleptokrasi memerlukan
sokongan padu dari semua pihak.
"Ini
bukan kerja perdana menteri seorang diri. Ia adalah tanggungjawab serta
tindakan kolektif dari semua pihak dalam Pakatan Harapan," katanya.
Katanya,
lawatan Mahathir ke luar negara juga bukanlah kerana bercuti sebaliknya
untuk mendapatkan keyakinan dunia luar selepas imej negara yang
tercemar dengan tindakan bekas perdana menteri Najib Razak.
Tegas
Khairuddin, Mahathir tidak bertindak sendirian sebaliknya segala
keputusan dibuat melalui sistem musyawarah dengan menteri-menteri PH
yang lain.
"Janganlah suka buat andaian yang tidak berasas, Jangan
sama sekali buat tuduhan melulu, niat dan motif mereka sudah pun
diketahui.
"Sekarang adalah untuk semua pihak dalam Pakatan
Harapan bekerja keras bagi menggalas tanggunjawab membela bangsa, agama
dan tanahair. Kita baru menang PRU 14 dan bukan masa untuk berbalah bagi
berebut jawatan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan