Sabtu, 22 Disember 2018

PSM diarah segera selesaikan masalah padang hoki Bukit Jalil



Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengarahkan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menyelesaikan masalah padang di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil dengan kadar segera.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata pihaknya memandang serius masalah itu dan mahukan penyelesaian segera, berikutan keadaan padang itu yang dilihat berisiko tinggi menyebabkan kecederaan kepada para pemain.

"Saya akan mengarahkan PSM sama ada menerusi perjumpaan atau panggilan telefon, tetapi apa yang penting ialah masalah ini mesti diselesaikan atau ditangani dengan kadar segera," katanya kepada pemberita selepas melancarkan SS Purple League (SSPL) musim 2018/19 di Cyberjaya, malam tadi.

Bernama pada Isnin lepas melaporkan bahawa keadaan padang di Stadium Hoki Nasional berada dalam keadaan yang tidak baik dan boleh membahayakan keselamatan pemain.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal mengesahkan bahawa, walaupun sudah hampir setahun sejak pihaknya menulis kepada PSM, masalah itu tidak dapat diselesaikan oleh badan yang bertanggungjawab mengurus dan menyelenggara stadium itu.

Subahan berkata PSM sebelum ini pernah menutup padang itu untuk kerja-kerja membaik pulih, tetapi masalah itu, yang berlarutan sejak padang itu yang digantikan sempena Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu, tidak dapat diselesaikan.

Penyelesaian segera diperlukan kerana stadium itu dijadualkan untuk menganjur Liga Hoki Malaysia 2019 bermula 11 Jan hingga 3 Mac, diikuti oleh kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, iaitu Siri Hoki Final bermula 26 April hingga 4 Mei.

Selain tuan rumah, Malaysia, saingan Siri Hoki Final turut disertai Austria, Kanada, Itali, Wales, Vanuatu, China serta Brazil, dan dua pasukan teratas pada kejohanan berkenaan akan mara ke pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2020.

Sementara itu, Sim percaya saingan SSPL yang memasuki musim kelima, dapat meningkatkan pembangunan sukan badminton di negara ini.

"Saya nampak persaingan yang amat baik, terutamanya daripada kelab-kelab yang bersaing untuk memupuk, mencungkil dan menarik bakat-bakat badminton di Malaysia.

Jadi saya berharap dinamik ekosistem kelab yang aktif dalam badminton ini boleh turut dilaksanakan di sukan yang lain. Kita juga galakkan kejohanan ini dianjurkan oleh pihak swasta, tahniah kepada mereka," katanya.

Saingan SSPL musim ini membuka tirai di Gem In Mall di sini dengan Petaling BC, yang diketuai oleh Iskandar Zulkarnain Zainuddin menentang Ampang Jaya BC diperkuatkan oleh Goh Jin Wei.
Bernama


Tiada ulasan: