Pemuda Umno mendesak peguam negara mengambil tindakan terhadap Exco Kerajaan Negeri Selangor V. Ganabatirau dan empat menteri kabinet iaitu P Waytha Moorthy, M Kulasegaran, Gobind Singh Deo dan Dr Xavier Jayakumar.
Ini susulan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim semalam selepas mengalami kecederaan parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November lalu.
Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi berkata mereka perlu didakwa di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengeluarkan kenyataan dengan niat mengaibkan dan membangkitkan pecah keamanan.
"Demi keadilan buat Adib, Pemuda Umno mendesak agar pendakwaan segera dilakukan terhadap mereka yang bertanggungjawab di atas kematian anggota bomba yang hanya cuba menjalankan tugas pada malam kedua rusuhan berlaku," katanya dalam kenyataan.
Menurut Asyraf, serangan pada 26 November ke atas kuil berkenaan tiada kaitan agama mahupun kaum, sebaliknya pertelingkahan antara kumpulan samseng yang diupah pemaju dan penganut kuil berkenaan.
Bagaimanapun katanya, V Ganabitirau sehari selepas itu mendakwa serangan ke atas kuil itu dilakukan orang Islam dan kenyataan bertulis empat menteri diketuai P Waytha Moorthy turut menyalahkan polis kerana didakwa gagal menangani insiden rusuhan pada malam pertama.
"Ini telah membangkitkan kemarahan 10,000 kaum India yang
keluar beramai-ramai pada malam kedua dengan melakukan rusuhan,
mencedera dan seterusnya menyebabkan kematian anggota bomba yang tidak
berdosa," kata Asyraf.
Desak Waytha Moorthy letak jawatan
Selain itu Pemuda Umno turut mendesak P Waytha Moorthy meletak jawatan selaku Menteri Perpaduan kerana menyalahkan polis sehingga tercetusnya rusuhan lebih dahsyat pada malam kedua di kuil berkenaan.
Selain itu Pemuda Umno turut mendesak P Waytha Moorthy meletak jawatan selaku Menteri Perpaduan kerana menyalahkan polis sehingga tercetusnya rusuhan lebih dahsyat pada malam kedua di kuil berkenaan.
"Selaku anggota pentadbiran kerajaan, mereka seharusnya mengelak daripada menggunakan sentimen perkauman dalam mengeluarkan kenyataan," katanya yang turut merakamkan rasa sedih dan ucapan takziah kepada keluarga Adib.
Jawatankuasa kuil mahu dalang dihukum
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Jawatankuasa Khas Selamatkan Kuil Mariamman Seafield, Sw Ramaji menggesa pihak berkuasa menghukum mereka yang terlibat dan dalang di sebalik insiden ganas itu.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Jawatankuasa Khas Selamatkan Kuil Mariamman Seafield, Sw Ramaji menggesa pihak berkuasa menghukum mereka yang terlibat dan dalang di sebalik insiden ganas itu.
"Kami menggesa pihak berkuasa menjalankan penyiasatan dan membawa semua yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
"Pihak berkuasa bukan sahaja harus menangkap pelaku tetapi juga orang yang berada di belakang pelaku.
"Mereka mesti dihukum kerana tindakan ganas mereka bukan sahaja menyebabkan kematian seorang penjawat awam tetapi juga menjejaskan perjuangan kami untuk mengekalkan kuil Seafield di lokasi sekarang.
"Keganasan bukanlah jalan penyelesaian untuk sebarang masalah. Dan orang-orang yang terlibat atas alasan apa pun perlu disiasat dan dihukum dengan sewajarnya," katanya.
Anggota bomba berumur 24 tahun itu dikejarkan ke lokasi rusuhan pada 27 Nov lalu akibat pertikaian mengenai tanah kuil di USJ 25, Subang Jaya.
Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi berhampiran, perusuh menyerang lori bomba dan van perubatan yang menyebabkan Adib dan rakannya yang lain terpaksa berundur.
Muhammad Adib dilaporkan diheret keluar dari kenderaan yang dinaikinya sebelum dipukul dan menyebabkan beberapa tulang rangkanya patah selain mengalami kecederaan dalaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan