Ahad, 16 Disember 2018

KEADILAN tak terima pembangkang yang mahu melompat

 

KEADILAN DAILY

Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak hasrat beberapa pemimpin pembangkang yang berminat menyertai parti itu kerana beliau mempertahankan integriti dan prinsip perjuangan parti.

Menurutnya, beliau ada menerima kunjungan beberapa pemimpin pembangkang yang mahu bertemu dengannya namun, beliau berpesan kepada mereka agar kekal sebagai pembangkang.

“KEADILAN telah didekati dan saya bertemu dengan mereka. Saya fikir dalam politik, walaupun orang menyatakan rasa tidak senang pada pertemuan yang mana saya tak faham, bagi saya melakukan pertemuan dan mempunyai hubungan mesra harus digalakkan.

“Tetapi saya jelaskan kepada mereka, anda boleh kekal dalam parti anda, atau menjadi bebas tetapi sukar pada masa ini untuk menerima mereka kerana mood orang ramai umumnya adalah untuk menyokong Pakatan Harapan dan agenda pembaharuan kami,” katanya ketika ditemui di Universiti Malaya selepas pelancaran buku Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua semalam.

Menurut anggota Parlimen Port Dickson itu, KEADILAN kekal komited dengan agenda Reformasi yang tidak disokong golongan pembangkang ini.

“Kami berjuang dalam pilihan raya bersama-sama menentang kerajaan yang korup dan oleh itu anda mesti membenarkan kami meneruskan ini tanpa sebarang halangan.

“Apa pun konsensus, kita harus menghargai fakta bahawa ini adalah perubahan yang dilakukan kerajaan.

“Kita komited kepada agenda Pakatan Harapan, isu integriti dan keperluan untuk melaksanakan langkah-langkah yang berkesan mesti dilaksanakan,” katanya.

Semalam, Anggota Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang merupakan bekas menteri Umno menyertai Parti Peribumi Bersatu Malaysia selepas menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 atas tiket Umno.

Sehari sebelumnya, Umno Sabah lumpuh apabila lima orang anggota Parlimen, sembilan anggota Dewan Undangan Negeri, dan dua orang senator bertindak keluar parti dan berikrar taat setia kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tiada ulasan: