Sabtu, 15 Disember 2018

Bersatu kurang cerdik pandai, import Ahli Parlimen UMNO: Lokman Adam

ISMA WEB

Ahli MT UMNO dedah gerakan jatuhkan Zahid sebagai presiden


BANGI – Tindakan ‘mengimport’ wakil rakyat dari UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disebabkan parti itu kekurangan golongan cerdik pandai, demikian kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Adam.

Beliau berkata, wakil rakyat UMNO yang tunduk kepada tuntutan Bersatu adalah mereka yang mempunyai rekod kesalahan, dan terpaksa memilih meninggalkan parti untuk menyelamatkan diri, dan perkara ini hanya akan menimbulkan masalah kepada parti itu.

“Gerakan ini akan lebih cepat memusnahkan Bersatu itu sendiri. Ini kerana, selama ini mereka tuduh UMNO ini korup, rasuah dan salah guna kuasa.

“Tapi kini, mereka kutip pula anggota-anggota yang korup ini, bukankah itu ironi?” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Mengenai gerakan melompat parti, beliau mendakwa sejak beberapa bulan lalu memang terdapat usaha untuk memastikan desakan demi desakan dilakukan agar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan.

Lokman berkata, jika ini berlaku, UMNO akan dapat diambil alih oleh kumpulan baharu yang pro Tun Dr Mahathir Mohamad, sekali gus menjayakan agenda Perdana Menteri menggabungkan UMNO dengan Bersatu.

“Dua tiga bulan yang lalu, memang terdapat gerakan memastikan bahawa desakan demi desakan dilakukan oleh mereka yang bekerjasama dengan Dr Mahathir untuk memastikan Zahid meletak jawatan, supaya parti boleh diambil alih oleh satu kumpulan baharu.

“Akhirnya agenda Dr Mahathir untuk menjayakan penggabungan di antara UMNO dengan Bersatu dapat dilakukan dengan membubarkan kedua-dua parti ini, dan disatukan dalam satu wadah, dan sebahagian menggelarnya ‘Perpaduan Ummah’.

“Saya nak jelaskan di sini, sehingga saat ini, UMNO hanya mengadakan kerjasama, ta’wun dengan satu pihak, tidak ada pihak lain. Pihak itu adalah sahabat kita daripada PAS,” katanya.

Beliau berkata, UMNO tidak akan sama sekali bekerjasama dengan mana-mana pihak lain, terutama parti tamak haloba DAP.

Ini kerana, katanya, Dr Mahathir sendiri sudah mendoktrin bahawa DAP adalah parti yang membenci Islam dan membenci Melayu.


Tiada ulasan: