Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa menarik kembali pelaksanaan skim Potongan Gaji Berjadual (PGB) atau berhadapan dengan amukan mahasiswa di universiti seluruh negara.
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Muhammad Faizuddin Zai berkata kerajaan sepatutnya membantu pendapatan generasi muda dan bukan merompak wang mereka dengan polisi yang zalim.
“Amaran daripada kami mahsiswa Malaysia agar pihak PTPTN segera menarik polisi skim Potongan Gaji Berjadual (PGB) ini atau kerajaan bakal berhadapan dengan amukan anak muda Malaysia dari seluruh negeri dan universiti.
“Wan Saiful, Pengerusi PTPTN yang bergaji besar dan Maszlee Malik, Menteri yang sedang menikmati gaji besar pada hari ini sepatutnya mencipta satu mekanisme mapan bagi membantu ekonomi anak muda disamping memastikan kestabilan kewangan PTPTN terjamin.
“Namun, apa yang berlaku sangat menyedihkan iaitu mereka mengambil jalan mudah dengan memeras ugut anak muda serta peminjam-peminjam PTPTN dengan kuasa yang mereka ada,” katanya melalui kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Faizuddin berkata PTPTN sepatutnya melihat kajian terperinci daripada Bank Negara Malaysia (BNM) yang melaporkan kebanyakan peminjam PTPTN masih memperoleh gaji yang rendah.
“Menurut data kajian oleh KPT (Kajian Pengesanan mahasiswa 2016), 89.1% daripada mahasiswa graduan diploma yang berkerja mempunyai pendapatan sebanyak RM2000 dan ke bawah sebulan dan sebanyak 48% mahasiswa graduan ijazah pertama mempunyai pendapatan RM2000 dan ke bawah.
“Ini menunjukkan majoriti graduan masih berada di bawah paras pendapatan yang baik seperti dicadangkan oleh BNM.
“Kerajaan sepatutnya tidak malas membuat kajian dan berdialog dengan para pemegang taruh sebelum memperkenalkan polisi yang tidak munasabah, menekan graduan dan menzalimi peminjam-peminjam PTPTN,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan