Selasa, 4 Disember 2018

Isu kuil: Mekanik dipenjara 2 bulan gagal patuhi arahan polis

THE MALAYSIAN TIMES
 


PETALING JAYA: Seorang mekanik dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan gagal mematuhi arahan bersurai oleh pihak polis pada Rabu lalu, iaitu dua hari selepas kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Shamis Samsuri, 29, selepas dia mengaku bersalah berada dalam perhimpunan yang menyebabkan gangguan kepada ketenteraman awam dan gagal mematuhi arahan bersurai pihak polis.

Kejadian itu didakwa dilakukan di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Usaha, Subang Jaya pada 1.15 pagi, 28 Nov lalu mengikut Seksyen 151 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh sabitannya pada hari ini.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian, pengadu, Inspektor M. Ganesh melihat sekumpulan lelaki Melayu berkumpul di hadapan kuil sebelum pihak polis mengeluarkan arahan bersurai sebanyak tiga kali.

Bagaimanapun, selepas arahan diberikan, tertuduh didapati masih berada di kawasan itu sebelum ditahan dan dibawa ke balai polis untuk tujuan siasatan.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh, R.M Pavethren, 19, seorang juruteknik yang terlibat dalam kes sama turut dijatuhi hukuman denda RM4,800 atas dua pertuduhan mengabaikan perintah pihak polis yang bertugas mengawal lalu lintas serta gagal mengemukakan kad pengenalan diri.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa gagal mengemukakan kad pengenalan semasa pemeriksaan dijalankan dan mengabaikan perintah anggota polis, Koperal Riza Ahmad Abdul Khalid yang bertugas mengawal dan menyelia lalu lintas di kawasan kuil iaitu di Jalan Harmoni, Putra Heights, di sini, pada 1.15 pagi, 28 Nov lalu.

Bagi kesalahan gagal mengemukakan kad pengenalan, dia didenda RM3,500 atau empat bulan penjara manakala bagi kesalahan mengabaikan perintah polis, remaja itu dikenakan hukuman denda RM1,500 atau dua bulan penjara, sekiranya denda gagal dibayar.

Pertuduhan bagi gagal mengemukakan kad pengenalan dilakukan mengikut Peraturan 7(1A) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 25(1)(n) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun.

Sementara itu, bagi kesalahan mengabaikan perintah polis, dia didakwa mengikut Seksyen 79 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM300 dan maksimum RM2,000.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Salim Soib @ Hamid, Shafiq Hasim, Amir Nasruddin dan Fairuz Johari manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.– Bernama

Tiada ulasan: