Selasa, 4 Disember 2018

'Hujah Mahathir tak logik'

 
   

ULASAN | Baru-baru ini, Dr Mahathir Mohamad mendakwa pentadbiran dahulu terlalu memanjakan penjawat awam sehingga perbelanjaan pengurusan negara meningkat berbanding era beliau sebelum ini.

Saya berpandangan beberapa perkara mesti diambil kira dengan teliti dan mendalam sebelum membuat penilaian yang terlalu umum dan bersifat pukul rata seperti itu.

Pertama, kita mesti melihat jumlah dan nisbah kakitangan awam berbanding penduduk negara ini.

Misalnya, pada 2003, dengan populasi kira-kira 25 juta orang, penjawat awam kita ialah kira-kira sejuta orang. Ini bermakna, nisbah penjawat awam kepada populasi penduduk adalah 1:25.

Kini - pada 2018 - jumlah saiz populasi kita ialah seramai 32.4 juta orang dengan kekuatan penjawat awam seramai 1.62 juta orang. Ini menjadikan nisbah penjawat awam kepada populasi penduduk adalah 1:20.

Lebih penting kita mesti melihat siapakah golongan atau sektor yang membentuk peratusan terbesar dalam keseluruhan komposisi penjawat awam di negara kita.

Mereka ialah dari sektor pendidikan seperti guru, anggota keselamatan seperti tentera, polis, pegawai kesihatan dan lain-lain.

Padan dengan keperluan

Berbanding dengan negara di Eropah misalnya, jumlah kakitangan awam mereka didefinisikan dengan sangat spesifik sehingga dipecahkan kepada perkhidmatan awam, sektor kesihatan dan hospital serta keselamatan.

Jadi, jika digabungkan kesemuanya - seperti yang dilakukan oleh Malaysia - sudah pastilah jumlah mereka juga amat besar dengan anggaran nisbah kira-kira 1:10.

Jumlah ini hampir dua kali ganda lebih ramai berbanding Malaysia.

Begitu juga dengan nisbah perkhidmatan awam kepada populasi penduduk di negara lain seperti Jerman (1:16), UK (1:11), AS (1:14), Australia (1:12) dan New Zealand (1:13).

Ini bermakna jumlah kakitangan awam Malaysia sebenarnya tidak besar, sebaliknya berpadanan dengan keperluan dan nisbah populasi penduduk negara.
Sekali pun berlaku peningkatan jumlah kakitangan awam, ia tidak secara automatik bermaksud kita mempunyai lebihan kakitangan awam.

Zaman sudah berubah, populasi kita bertambah, orientasi dan bentuk kerja hari ini juga sudah tidak sama seperti dulu.

Kita tidak boleh bandingkan semua perkara dengan zaman silam. Seolah-olah sejak 10 hingga 15 tahun kebelakangan ini tidak ada apa-apa yang berlaku kepada negara kita.

Kedua, kita perlu bersetuju bahawa sumbangan kakitangan awam dalam pengurusan serta pembangunan negara sangat besar dan penting. Tidak ada kerajaan biar dari mana-mana parti sekalipun yang dapat menafikan perkara ini.

Jadi, saya bersetuju dengan pandangan yang melihat kenyataan perdana menteri sebagai tidak wajar.
Sebaliknya, beliau perlu mengambil pendekatan untuk mengukuhkan keupayaan dan kecekapan perkhidmatan awam.

Rendah, tak kompetetif

Misalnya, memberikan lebih banyak ruang untuk mereka menerima latihan dan kursus khas yang berkualiti, meletakkan indeks prestasi utama (KPI) dan sasaran yang jelas serta mengubah suai sistem yang ada dengan menjadikannya lebih bersifat teknologi terkini, mesra pengguna dan mudah.

Malah, kerajaan mesti menawarkan insentif yang menarik untuk menggalakkan bakat-bakat terbaik bangsa kita menyertai perkhidmatan awam.

Ketiga, perdana menteri mendakwa kenaikan gaji dua kali setahun juga menyebabkan penjawat awam dimanjakan dan ia menyebabkan kos sara hidup meningkat dan perbelanjaan negara tinggi.




Kalau kita semak semula, salah satu naratif kerajaan semasa kempen PRU ialah gaji kepada tenaga kerja Malaysia yang rendah dan tidak kompetitif.

Sebab itulah had gaji minimum sebanyak RM1,500 antara perkara utama yang mereka tawarkan sebelum ini, walaupun selepas menang PH hanya menetapkan gaji minimum sebanyak RM1,050 dan kemudiannya disemak semula kepada RM1,100.

Jadi, jika kerajaan sebelum ini telah mengambil langkah proaktif dan adil dengan menaikkan gaji perkhidmatan awam, ia suatu langkah baik yang wajar disokong dan terus ditambah baik. Bukannya dipertikaikan tanpa asas yang jelas.

Lebih penting, tanpa kenaikan gaji sekali pun harga barang akan tetap naik.

Hujah yang menuduh bahawa kenaikan gaji kaki tangan awam adalah faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga barang adalah sangat tidak tepat dan tidak logik.

Ia ibarat satu naratif dan alasan baharu yang dikeluarkan oleh kerajaan semasa akibat kegagalan mereka untuk mengawal harga barang.


MOHAMED KHALED NORDIN ialah naib presiden Umno.


Tiada ulasan: