Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ramai yang hadir himpunan itu bukan sahaja untuk ICERD, tetapi menyuarakan perasaan tidak puas hati mereka terhadap kerajaan untuk pelbagai isu.
"Antaranya isu seperti harga sawit yang rendah, ekonomi yang semakin menurun, Perbadanan Tabung Pendiditan Tinggi Nasional (PTPTN), subsidi dan bantuan yang telah dimansuhkan atau dikurangkan dan tabiat kerajaan PH yang sering membuat pusingan U," katanya dalam laman sosial Facebook miliknya hari ini.
Biarpun penat, beliau amat berbangga dengan kejayaan dan semangat kesatuan serta kesepakatan dalam Himpunan Ummah 812 tanpa mencetus sebarang unsur provokasi.
"Tidak ada sebarang insiden sehingga pihak berkuasa terpaksa mengambil tindakan.
"Kerana kami bukan ‘supremacist’ ataupun "extremist" sebagaimana fitnah fitnah yang dilemparkan kepada kita," katanya dalam laman sosial Facebook miliknya hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: 55,000 turun Himpunan ICERD]
Walaupun himpunan sudah bersurai, Najib berkata, keadaan di Dataran Merdeka kelihatan bersih seperti sebelum ia diadakan berdasarkan foto di sekitar kawasan berkenaan.
"Inilah sifat kita. Kita sayangkan negara kita ini. Sifat bersih memang sebati dengan kita.
Perhimpunan 812 semalam mungkin perhimpunan yang terbesar, teraman dan terbersih di dalam sejarah Malaysia.
"Kerajaan PH beri anggaran jumlah peserta di perhimpunan hanya 55,000 orang tetapi kita semua boleh menilai dari gambar-gambar dan video yang tersebar luas. Sudah tentu jumlah peserta berganda lebih banyak dari angka ini," katanya.
Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan BN di bawah pimpinannya sebelum ini pernah dua kali membuat kajian tentang kesesuaian ICERD di Malaysia iaitu pada 2011 dan 2015.
Namun, katanya, hasil dari kajian-kajian itu, kerajaan BN berpendirian untuk tidak meneruskannya kerana bertentangan dengan perlembagaan negara dan kontrak sosial yang dicapai semasa pertubuhan negara.
"Kedua-duanya ini adalah tiang asas kepada negara kita ini. Selain dari hak-hak Bumiputera dan kedudukan Islam di Negara, ICERD juga memberi kesan kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak-hak yang dipersetujui untuk mereka di Sabah dan Sarawak.
"Ia juga ada impak yang menghalang program-program bersasar seperti Pelan Induk Masyarakat India dan Kojadi (Koperasi Jayadiri Malaysia) iaitu program pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Cina," katanya.
Meskipun tanpa ICERD, katanya, Malaysia tetap pesat membangun, kepentingan setiap kaum tetap dijaga dan keharmonian negara tetap terjaga.
"Oleh itu, kerajaan BN tidak pernah mengumum akan meraktifikasi ICERD. Sebaliknya, memberi keutamaan kepada ekonomi, pembangunan negara dan untuk mengurangkan jurang antara yang kaya dengan yang miskin dan antara pantai barat dengan pantai timur dan antara semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.
"Tanpa ICERD, kerajaan BN masih dapat menjaga kepentingan dan hak-hak semua kaum di negara kita ini. Kita masih boleh memastikan keadilan dan keseimbangan dalam perkongsian kekayaan negara dan memastikan usaha itu bersifat inklusif untuk semua, kerana ia adalah satu amanah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan