Sabtu, 15 Disember 2018

37 Ahli Parlimen UMNO didakwa tandatangan SD sokong Tun M

ISMA WEB

Lokman Adam dakwa akuan sumpah dibuat selepas ada desas-desus undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri akan dibuat di Dewan Rakyat


BANGI – Tiga puluh tujuh Ahli Parlimen UMNO didakwa bersetuju menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad, jika berlaku undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Dakwaan itu dibuat Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, sambil menyatakan bahawa sokongan itu akan diberi tanpa perlu Ahli Parlimen terbabit keluar daripada UMNO.

Katanya, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah bertanya kepada semua Ahli Parlimen terbabit berhubung SD itu.

“Kumpulan itu menjawab, mereka hanya akan menyokong untuk mengekalkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan tidak akan keluar parti. Itu apa yang dilafazkan kepada presiden parti,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau yang enggan mendedahkan nama Ahli Parlimen terbabit bagaimanapun berkata, ada enam atau tujuh orang Ahli Parlimen sahaja yang tidak menandatangani SD itu.

Mereka ialah Zahid; Datuk Seri Najib Razak; Datuk Seri Ahmad Maslan; Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Lokman berkata, tindakan menandatangani SD itu rupa-rupanya mempunyai agenda lebih besar, iaitu untuk menjatuhkan Zahid sendiri daripada kedudukannya sebagai presiden.

“Malangnya kita lihat, seperti mana yang saya jangkakan, peringkat demi peringkat, mereka menyusun orang keluar daripada parti sedikit demi sedikit dan akhirnya meletakkan kesalahan ke atas batang tubuh presiden UMNO, dan mereka mahu supaya Zahid kita berundur,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan ahli dan penyokong akar umbi UMNO supaya bersedia menghadapi kemungkinan paling buruk, iaitu semua 37 individu terbabit, akhirnya akan keluar daripada parti.

Pada masa sama, Lokman menafikan desas-desus kononnya Presiden UMNO cuba untuk membawa parti itu bekerjasama dengan DAP dan PKR, susulan tersebarnya berita mengenai pertemuan di antara Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita tak nafikan, dari zaman dulu UMNO memerintah, memang dia (Nazri) baik dengan DAP, itu dia punya pendirian, kita tak mahu kacau. Dan dia juga baik dengan Anwar, itu pun kita tak mahu kacau, itu hak dia.

“Tetapi apa yang ada dalam pemikiran dia bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan polisi parti, kerana beliau pun bukan Ahli Majlis Tertinggi,” katanya.


Tiada ulasan: