Sabtu, 15 Disember 2018
Amanah Terengganu di Konvensyen Nasional mereka
Perwakilan AMANAH Terengganu, Hasbie Muda menyeru agar kepemimpinan di peringkat nasional mencari pendekatan berkesan dalam meraih sokongan rakyat di negeri itu.
Beliau berharap pemimpin di peringkat nasional dapat merangka mekanisme yang terbaik termasuk lebih kerap turun ke negeri berkenaan.
Menurutnya, AMANAH Terengganu berdepan cabaran getir dalam memenangi hati pengundi masyarakat luar bandar termasuk di kawasan Felda.
“Ketua-ketua Kawasan menjadi sasaran. Kami di Terengganu ini bukan setakat segan minum kopi di Felda, nak melintas di kawasan Felda pun cukup besar kebimbangan.
“Sebab apabila mereka lihat pemimpin Pakatan Harapan (PH) ini, mereka akan maki dan sebagainya,” ujarnya ketika membahaskan Pidato Presiden pada Konvensyen Nasional AMANAH di Ipoh pagi ini.
Sehubungan itu, Hasbie mengingatkan kemenangan AMANAH di Terengganu dan Kelantan adalah kemenangan di peringkat nasional.
“Mandat untuk mengambil alih bagi menggantikan dua negeri yang sedang dikuasai Pas ini bukan berada di bahu kami tetapi di bahu kita semua.
“Sebab, tiga negeri yang diberi kepada AMANAH (pada PRU-14), hanya satu (Melaka) yang menang, dua lagi belum (menang).
“Di Terengganu, daripada 10 orang yang berkumpul, lima mengundi Pas, empat penyokong Umno dan seorang lagi itu pun mungkin tidak lengkap tangan adalah pengundi PH.
“Jadi, bayangkan bagaimana kami di Terengganu,” tambahnya lagi yang juga Ketua Pemuda AMANAH negeri.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan