Ahad, 16 Disember 2018

Ada ahli DAP lompat parti sertai Warisan?

Astro Awani
Ada ahli DAP lompat parti sertai Warisan?
Dilaporkan sekurang-kurangnya 500 orang terdiri daripada bekas ahli DAP dan UMNO menyertai Warisan.
 
SANDAKAN: Pengerusi DAP Sabah Datuk Stephen Wong Tien Fatt berkata, beliau masih belum menerima maklumat berhubung ahlinya yang keluar parti dan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Katanya, jika benar berlaku kejadian tersebut ia bukan satu yang serius dan menyifatkan tindakan lompat parti adalah lumrah dalam politik.

“Ini satu khabar yang saya baru tahu... (mereka) mungkin ahli biasa. Tapi ini biasalah, itu pilihan mereka. Hal ini tiada masalah. 

“Kita dengan Warisan mempunyai hubungan yang sangat baik dan rapat. Ketua Menteri pun memahami situasi kita,” katanya ketika ditemui media dalam Majlis Khatan Perdana di Taman Harmoni, Sandakan, hari ini.

Terdahulu, seorang bekas ahli DAP Tanjung Papat, Tahir Esin dilaporkan menyerahkan borang kepada Timbalan Ketua Bahagian Warisan Sandakan, Datu Gulam Datu Hiya untuk menyertai parti itu.

Menurut Tahir, pihaknya mengambil keputusan itu kerana yakin dan matlamat perjuangan parti Warisan.

Katanya lagi, sudah tiba masa untuk rakyat negeri Sabah menyokong parti tempatan seperti Warisan yang menjadi parti pemerintah.

Dalam majlis sama, bekas ahli dan pemimpin UMNO Elopura Osman Ibrahim turut menyerahkan borang keahlian menyertai Warisan.

Dilaporkan sekurang-kurangnya 500 orang terdiri daripada bekas ahli DAP dan UMNO menyertai parti berkenaan.

Tiada ulasan: