Apabila berlaku rusuhan di kuil Seri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya Selangor, pada Isnin 25 November, belum pun sempat kita berfikir apa-apa, seorang menteri berketurunan India sudahpun mengeluarkan kenyataan menyalahkan pihak itu dan pihak ini, termasuk pihak polis, dalam nada yang berbau perkauman.
Tak lama kemudian sidang akhbar diadakan mengenai perkara itu. Ada satu perkara yang saya berasa hairan dan pelik, mendorong saya menulis sedikit catatan dalam fesbuk pada 28 November, begini:
Saya hairan dan pelik satu perkara berkenaan gaduh di kuil kat Subang Jaya. Kalau ikut kerajaan, itu di bawah tanggungjawab menteri yang mana? Saya tengok satu sidang media itu semua menteri keturunan India hadir. Kenapa perlu macam itu? Kenapa tak menteri yang bertanggungjawab perkara itu saja yang hadir?
Ini nampak macam menteri-menteri kita ini masih keliru dan bercelaru lagi dengan bidang tugas dan tanggungjawab masing-masing. Atau minda mereka itu (menteri-menteri itu) masih berfikir dalam kerangka perkauman? Awal-awal lagi, belum apa-apa, sudah bertindak ikut sentimen kaum.
Ya, mengapa harus semua menteri-menteri dari keturunan India itu hadir? Apakah kerana peristiwa itu menyentuh permasalahan kaum India? Apakah menteri-menteri itu dilantik berada dalam kabinet untuk menjaga kepentingan dan permasalahan kaum India?
Nampak tersangat jelas betapa sikap dan pemikiran sebahagian kita, seperti menteri-menteri dari kaum India itu; masih berfikir dalam kotak kepentingan kaum walaupun dalam waktu yang lain melaungkan semangat Malaysia baru tanpa pemikiran/perbezaan kaum, agama dan sebagainya.
Itu mereka yang bertaraf menteri tu! Pemimpin. Bukannya rakyat biasa. Betul! Saya jadi hairan dan pelik. Mengapa masyarakat kita masih di tahap itu? Di mana salahnya kita? Mesti ada salah di mana-mana.
Dan ini bukan perkara kecil. Ini perkara besar. Soal perkauman yang kita semua menganggapnya kita sudah berjaya mengatasinya dan kita sudah mencapai masyarakat yang hidup berharmoni tanpa prasangka kaum dan agama itu semua dengan sendirinya menjadi meleset dan satu penipuan diri semata-mata, dengan peristiwa rusuhan kuil dan sidang akhbar berkenaan itu sebagai buktinya.
Maksudnya, kuasa politik adalah faktornya. Menteri-menteri berkenaan itu bimbang mereka akan kehilangan kuasa dan pengaruh politik mereka sekiranya mereka tidak hadir di sidang media itu dan akan dilihat sebagai mereka tidak prihatin dengan permasalahan kaum sendiri.
Pemikiran saya yang percaya pada teori Tekad Budaya sememangnya melihat bahawa masyarakat kita ini keterlaluan berpolitik, atau berpolitik berlebih-lebih. Masyarakat kita (Melayu, Cina, India) terlalu percaya kepada kuasa politik dan terlalu berpegang kepadanya, untuk kepentingan tertentu masing-masing.
Saya dan kumpulan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) sudah lama mencadangkan kepada pihak kerajaan supaya mengambil inisiatif memperbanyakkan program dan aktiviti seni-budaya, yang dalam masa sama akan mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada kuasa politik. Namun seperti yang kita semua maklum, respon daripada pihak kerajaan sangatlah mengecewakan.
Ada pihak yang berhujah mempersoalkan pemikiran Tekad Budaya saya itu dengan mengatakan bahawa di kalangan seniman-budayawan juga banyak berlaku krisis dan perbezaan pandangan.
Ya betul, saya tidak menafikannya. Memang di kalangan seniman-budayawan juga banyak berlaku krisis dan perbezaan pandangan. Dan itu bukanlah sesuatu yang merosakkan keharmonian dan keseimbangan hidup yang kita maksudkan.
Apabila Tekad Budaya berhujah kita perlu memperbanyakkan aktiviti seni-budaya bagi melahirkan keseimbangan dan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat, itu tidak bermaksud kita mahu membentuk masyarakat yang hidup tanpa krisis dan perbezaan pandangan.
Banyak orang masih keliru memahami makna keseimbangan dan keharmonian dan juga makna krisis dan perbezaan pandangan.
Perbezaan pandangan, juga krisis, di kalangan anggota masyarakat adalah sesuatu yang sihat dan tidak merosakkan keseimbangan dan keharmonian hidup masyarakat berkenaan, selagi ia terkawal. Masalahnya ialah samada ia terkawal atau tidak terkawal. Apabila ia mencetuskan pergaduhan atau rusuhan, itu sudah melampaui kawalan, dan itu merosakkan keseimbangan dan keharmonian.
Jadi, soal krisis dan perbezaan pandangan di kalangan seniman-budayawan itu bukanlah masalah, kerana ia berlaku bukanlah disebabkan dorongan untuk merebut kuasa politik atau mempertahankannya. Ia hanya sekadar perbezaan pandangan mengenai sesuatu perkara sahaja, yang bukan bersifat politik atau agama.
Sekiranya krisis dan perbezaan pandangan itu menjadi perkara politik atau perkara agama, maka krisis itu telah berubah sifatnya. Ia telah menjadi perkara politik, atau perkara agama. Ia bukan lagi perkara seni dan budaya. Maka soal apakah ia terkawal atau tidak terkawal juga sudah menjadi berbeza.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan