Sabtu, 6 Oktober 2018

Saiful kutip sampah di Teluk Kemang

 
   

PRK PD | Calon bebas pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson Mohd Saiful Bukhari Azlan hari ini menyumbangkan plastik sampah mesra alam kepada pengunjung di pantai peranginan ini sebagai pemulaan kepada inisiatif untuk mengindahkan pesisir pantai itu sekiranya dipilih kelak.

Beliau berkata inisiatif itu termasuk melabuhkan tukun tiruan di sepanjang perairan kawasan itu bagi tujuan kelestarian ekonomi kerana berdasarkan berdasarkan kajian pihaknya, laut dan pantai menjadi penyumbang utama kepada pendapatan masyarakat di sini.

"Jika pantai Port Dickson bersih sudah pasti keindahannya terpelihara sekali gus menjadi tarikan dalam sektor pelancongan.

"Manakala tukun-tukun tiruan di kawasan strategik diyakini berupaya meningkatkan hasil tangkapan nelayan," katanya dalam sidang media mengumumkan inisiatif berkenaan di Dataran Teluk Kemang, di Port Dickson.

Katanya, beliau akan berbincang dengan persatuan nelayan tempatan bagi lokasi yang sesuai untuk dilabuhkan tukun tiruan berkenaan yang akan disumbangkan syarikat pembinaan.

Selepas sidang media, selain menyumbangkan plastik sampah mesra alam kepada pengunjung kawasan pantai Teluk Kemang, Saiful Bukhari turut membersihkan kawasan pantai dengan mengutip sampah.

"Saya juga akan mengadakan kempen kesedaran kepada pengunjung pantai dan pelancong kerana saya percaya sampah ini dibawa orang luar," katanya.

Dalam perkembangan lain, Saiful Bukhari berkata tabung dana kempennya, 'Tabung RM1' kini telah mencecah RM2,500 iaitu luar daripada jangkaannya.

Beliau bagaimanapun mengakui jumlah itu tidak boleh ditafsirkan sebagai jumlah pengundi kerana sumbangan itu datang dari seluruh negara.

Tabung itu dilancarkan pada 2 Oktober lepas bagi merayu sumbangan orang ramai untuk kelangsungan kempennya sehingga sehingga hari pengundian 13 Oktober.- Bernama


Tiada ulasan: