Sabtu, 6 Oktober 2018

Timbalan Ketua UMNO Sekijang, 300 ahli keluar parti sertai Bersatu

ainulillia

Keputusan dibuat secara sukarela, tiada imbuhan mana-mana pihak



SEGAMAT – Timbalan Ketua UMNO Sekijang, Datuk Alus Kassim mengumumkan keluar parti itu dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini selepas lebih 40 tahun berkhidmat.

Alus turut mengumumkan bahawa 300 ahli UMNO bahagian itu akan mengikuti beliau menyertai Bersatu serta menyokong penuh Kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Keputusan kami ini adalah secara sukarela dan tanpa sebarang paksaan ataupun imbuhan yang dijanjikan oleh mana-mana pihak,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Mengenai keputusan peribadinya meninggalkan ‘parti keramat Melayu’ itu pula, Alus berkata, keputusan itu dibuat ekoran hala tuju UMNO pada masa kini yang tidak selari dengan perjuangannya.

“Pada pandangan saya, hala tuju yang diambil UMNO pada masa ini sudah tergelincir dari matlamat asal dan tidak lagi selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangan saya selama ini.

“UMNO sudah lari dari perjuangan dan langsung tidak ada usaha yang meyakinkan bahawa proses rejuvenasi parti sudah bermula.

“Selepas bermuhasabah dan memikirkan sedalamnya, saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai ahli UMNO selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti ini,” katanya.


Tiada ulasan: