Khamis, 4 Oktober 2018

PAS MAHU TIMBALAN MENTERI PERTAHANAN DITUKAR



PAS akan membawa suara veteran tentera yang mahu Timbalan Menteri Pertahanan ditukar dengan individu yang lebih layak untuk menduduki jawatan itu.

Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar, berkata kerajaan perlu mendengar desakan itu dengan mengantikan calon yang lebih layak terutama dalam kalangan bekas pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata, beberapa persatuan veteran tentera mahu kerajaan segera menukar Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong, yang dianggap tidak layak memegang jawatan itu.

“Jangan salah faham, veteran bukan bantah kerana beliau timbalan menteri berketurunan Cina tetapi atas kelayakannya sedangkan kerajaan ada calon yang lebih layak seperti bekas pegawai kanan tentera yang berada dalam Pakatan Harapan (PH).

“Warga tentera dan veteran kecewa dengan tindakan kerajaan dan desakan semakin kuat meminta dibuat pertukaran jawatan itu sebelum hari mengundi PRK Port Dickson 13 Oktober ini,” katanya ketika ditemui di Tapak Pasar Tani Batu 4 di Port Dickson, pada Rabu.

Mohd Nazari berkata, langkah bertemu pengundi secara terus menyebabkan semakin ramai penduduk Port Dickson menyedari kesilapan mereka dan mula selesa dengan PAS.

“Kita lihat, pengundi mulai sedar betapa ruginya memilih Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dan dalam masa sama mereka sudah mula selesa dengan PAS.

“Sebagai calon, semangat saya semakin tinggi dan dibantu jentera yang mantap kerana sanggup bersusah payah mengatur dan mengiringi saya setiap hari untuk berjumpa pengundi,” katanya.


Tiada ulasan: