Isnin, 8 Oktober 2018

Menteri tak puas hati: Pelanggan sedia ada tak nikmati penurunan

MALAYSIAKINI

   

Menteri Kommunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo tidak berpuas hati dengan pakej baru yang ditawarkan empat syarikat telekomunikasi (telco) seperti dilaporkan semalam kerana didapati mereka tidak menurunkan harga perkhidmatan kepada pelanggan sedia ada.

Katanya, pengumuman semalam bermaksud bahawa pelanggan sedia ada tidak dapat menikmati manfaat daripada pakej-pakej baru tersebut dengan serta-merta.

Selain itu, menurut beliau, tiada cadangan dibawa untuk mengatasi masalah pengguna perkhidmatan Streamyx yang baginya perlu ditangani dengan kadar segera.

“Saya akan bertemu dengan wakil-wakil telco untuk bincangkan perkara ini dalam masa terdekat.

“Dalam masa yang sama, saya ingin juga tegaskan di sini bahawa telco yang menawarkan pakej-pakej baru ini perlu pastikan perkhidmatan yang ditawarkan itu sebenarnya diberikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan memaklumkan, Telekom Malaysia (TM), Maxis, Celcom dan TIME dotCom (TIME) kini menawarkan pakej permulaan jalur lebar talian tetap pada harga kurang daripada RM100.

Syarikat telco berkenaan juga dikatakan akan meningkatkan kelajuan perkhidmatan jalur lebar mereka.

SKMM berkata, penurunan harga yang dibuat oleh empat syarikat telekomunikasi itu lanjutan daripada penguatkuasaan Standard Mandatori Mengenai Capaian (MSAP).

Mengulas lanjut, Gobind tutut menjelaskan, SKMM diminta untuk memantau perlaksanaan pakej-pakej yang baru dan menguruskan semua aduan yang diterima berkenaannya serta ambil tindakan tegas.

Tindakan itu katanya, adalah perlu untuk pastikan perkhidmatan yang diberikan itu selaras dengan apa yang dijanjikan.

“Saya akan teruskan lagi dengan usaha-usaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan Internet di negara kita untuk pastikan negara ini bersedia untuk era digital baru yang kini dilihat di seluruh dunia yang dikenali sebagai Industri 4.0,” katanya.


Tiada ulasan: