Ahad, 7 Oktober 2018

Jenazah Hassan Azhari selamat dikebumikan

ainulillia

Allahyarham meninggal dunia akibat kanser limfoma tahap empat


SHAH ALAM – Jenazah Bekas Hakim Pertandingan Tilawah al-Quran, Tan Sri Hassan Azhari selamat dikebumikan jam 9.40 pagi tadi di Makam Diraja Shah Alam, di sini.

Majlis pengebumian Allahyarham dihadiri Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan berangkat ke makam berkenaan dan baginda turut diiringi Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor dan ratusan ahli keluarga, saudara-mara dan rakan Allahyarham.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Allahyarham yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak Ahad lalu kerana menghidap kanser limfoma tahap empat, meninggal dunia petang semalam, pada usia 90 tahun.

Allahyarham pernah menjadi pendidik terkenal dalam rancangan Muqaddam pada awal 1970-an di saluran RTM.

Beliau juga menjadi individu yang melaungkan azan ketika kemerdekaan negara Malaysia pada 31 Ogos 1957.


Tiada ulasan: