Ahad, 7 Oktober 2018

Isu khalwat: Netizen desak Mujahid letak jawatan

Oleh Athirah Huda Zalhe 

Kenyataan menteri agama seolah-olah galak maksiat berleluasa



BANGI – Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa bukan hanya mengundang reaksi negatif pihak mufti dan golongan agamawan, malah beliau turut dikritik serta dikecam teruk oleh pengguna media sosial, susulan temu bual eksklusifnya berkaitan khalwat bersama akhbar The Star, semalam.

Selepas isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), netizen sekali lagi meluahkan rasa kecewa dan kesal dengan kenyataan menteri agama di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) itu, yang berterusan mengeluarkan pandangan mengelirukan umat Islam.

Malah, kebanyakan netizen turut mendesak supaya Mujahid meletakkan jawatan kerana menganggap beliau gagal bertanggungjawab memelihara dan melindungi agama Islam, berdasarkan peranannya sebagai menteri.

“Untuk apa kamu menjadi kerajaan kalau tak nak bertanggungjawab. Biarkan maksiat berlelauasa, biarlah Malaysia dapat bala dan malapetaka. Lepas ini berlambak orang bawa masuk perempuan keluar masuk rumah,” tulis Hidayah Zali.

“Apa jenis menteri agama ni? Itulah tugas korang untuk mencegah maksiat dan kemungkaran. Jarang orang nak buat maksiat secara terbuka. Mohon tukar menteri,” tulis Shahrul Che Omar.

Pemilik akaun Lurza Ziza berkata, kerajaan sepatutnya mengambil kira semua aspek, bukan sebaliknya melaksanakan pendekatan penguatkuasaan untuk kes terbuka semata-mata.

“Siapa penasihat agama di sebalik menteri ni? Siti Kasim ke? Fahami apa itu Rahmatan lil alamin. Bukan bermaksud belas kasihan kepada makhluk perosak. Sebagai kerajaan patut perbanyakkan lagi usaha dakwah dan banteras dengan cara bijaksana,” katanya.

Pemilik akaun Ji Jo menyifatkan kenyataan Mujahid sebagai satu kejayaan terhadap kumpulan liberal yang kononnya selama ini berjuang menuntut hak kebebasan peribadi mereka tidak diganggu gugat.

“Nampaknya dengan pengisytiharan daripada menteri agama ini, maka menanglah pejuang-pejuang SIS, dan bersoraklah mereka meraikan kemenangan ini,” tulis Azmi AbRahman.

“Kerajaan beginilah yang kita nak, hari-hari boleh bawa balik perempuan,” sindir Shah Aizat.

Sebelum ini, akhbar terbabit dalam dua perenggan pertama laporan eksklusifnya menyebut bahawa tiada lagi ketukan pintu di tengah malam dan tiada lagi pintu dipecahkan oleh pihak berkuasa agama yang menyiasat laporan khalwat atau dakwaan salah laku lain.

Perenggan kedua menyebut, sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan bahawa apa yang umat Islam lakukan di belakang pintu yang tertutup bukanlah urusan kerajaan.

Ini diikuti dengan perenggan ketiga hingga lima di mana Mujahid menyebut:

“Katakan anda melakukan sesuatu dalam ruang lingkup peribadi anda, saya tidak akan campur tangan. Sebagai contoh, penggunaan alkohol adalah salah bagi seorang muslim, tetapi jika anda menggunakannya dalam ruang lingkup anda, maka sebagai sebahagian daripada kerajaan, saya tidak akan campur tangan.

“Kebimbangan saya adalah apa yang berlaku di khalayak yang melangkaui sensitiviti, kesahihan atau jenayah. Hanya dengan itu kerajaan masuk, bukan kerana kita mahu menjadi polis moral tetapi kerana kita mahu menjamin ruang lingkup awam.”

Bagaimanapun, Mujahid dilaporkan mendakwa laporan temu bual bersama wartawan Zakiah Koya itu telah dimanipulasi oleh akhbar terbabit.

“Tidak diketuk pintu itu semua adalah tambahan daripada editor yang mengambil rumusan mereka sendiri daripada kenyataan saya.

“Sila rujuk kepada temu bual yang di dalamnya lebih tepat kepada maksud yang saya ingin sampaikan,” katanya seperti dilapor TV AlHijrah.


Tiada ulasan: