Sabtu, 6 Oktober 2018

‘Biarkan maksiat berlaku kecuaian pihak diberi tanggungjawab’

ainulillia


Mujahid sudah tentu faham penguatkuasaan jenayah syariah adalah bidang kuasa negeri



BANGI – Timbalan Mufti Perak, Ustaz Zamri Hashim meminta Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa tidak tergesa-gesa membuat kenyataan berkaitan penguatkuasaan jenayah khalwat.

Ia susulan kenyataan Mujahid dalam temu bual eksklusif dengan akhbar The Star dilaporkan sebagai berkata, tiada lagi ketukan pintu di tengah malam atau pintu dipecahkan oleh pegawai agama jika mendapat laporan khalwat atau aktiviti lain yang menyalahi ajaran Islam.

Mujahid menegaskan apa yang dilakukan oleh orang Islam di sebalik pintu yang tertutup adalah bukan urusan kerajaan.

Menyelar kenyataan itu Ustaz Zamri berkata, Mujahid sebagai Menteri Hal Ehwal Agama seharusnya menghormati sultan sebagai Ketua Agama Negeri, kerana urusan penguatkuasaan undang-undang syariah adalah tertakluk kepada bidang kuasa negeri.

Katanya, setiap negeri mempunyai Enakmen Tatacara Jenayah Syariah sendiri, yang menuntut amar makruf nahi mungkar dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Justeru, menjadi kewajipan terhadap pemerintah untuk menjalankan amar makruf nahi mungkar termasuk dalam kes khalwat yang diutarakan menteri itu.

“Asalnya tajassus (mengintip) itu tidak dibenarkan tetapi para ulama telah membuat pengecualian khususnya apabila ia melibatkan isu nyawa dan maruah.

“Apabila ada sangkaan yang kuat mengenainya seperti terkandung dalam kitab-kitab Raudhah al Talibin, Nihayah al Muhtaj, Al Ahkam Al Sultaniah, Ihya Ulumiddin dan lain-lain.

“Ia termasuk dalam kaedah Sad al Zariah iaitu menutup pintu-pintu kemaksiatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, sebarang penambahbaikan terhadap tindakan serbuan mahupun prosedur menangani kes khalwat amat dialu-alukan.

“Tetapi, membiarkan maksiat terus berlaku, itu adalah satu kecuaian daripada pihak yang telah pun diberi tanggungjawab,” katanya.


Tiada ulasan: