Sabtu, 6 Oktober 2018

‘Memang tanggungjawab kerajaan cegah khalwat’: PGSM

ainulillia


Membenarkan maksiat berlaku atas alasan urusan peribadi tidak boleh diganggu hanya menggalakkan kes zina berleluasa


BANGI – Membenarkan kes khalwat atau aktiviti menyalahi ajaran Islam sebagai urusan peribadi dan tidak boleh diganggu pihak berkuasa agama Islam, hanya menggalakkan percambahan kes zina, kata Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Presidennya, Musa Awang berkata, berkhalwat itu sendiri merupakan wasilah (jalan) ke arah berlakunya zina dan sepatutnya ditegah daripada menjurus kepada kemaksiatan.

Katanya, kaedah fikah ada menyebut, apa-apa yang membawa kepada perkara haram maka ia juga turut haram.

“Khalwat atau berdua-duaan akan menjatuhkan maruah individu yang terlibat dan kedua-kedua keluarga pasangan yang berkhalwat. Nama baik keluarga akan tercemar dengan perbuatan ini.

“Malah, ia juga boleh mencemarkan dan menjatuhkan maruah masyarakat Islam dalam sebuah kampung, mukim atau daerah di mana kejadian itu berlaku. Di sinilah letaknya peranan masyarakat sebagai tuntutan fardhu kifayah.

“Ketika berlakunya zina pula, akan timbul kes pembuangan dan pembunuhan anak yang akan membawa kepada pencerobohan ke atas maqasid Islam iaitu hifz al-nafs (penjagaan nyawa).

“Bahkan penzinaan juga akan menyebabkan rosaknya maqasid Islam yang ke empat iaitu hifz al-nasl (menjaga keturunan),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mujahid dalam temu bual eksklusif dengan akhbar The Star, yang melaporkan menteri berkenaan sebagai berkata, tiada lagi ketukan pintu di tengah malam atau pintu dipecahkan oleh pegawai agama jika mendapat laporan khalwat atau aktiviti lain yang menyalahi ajaran Islam.

Mujahid menegaskan apa yang dilakukan oleh orang Islam di sebalik pintu yang tertutup adalah bukan urusan kerajaan.

Dalam temu bual itu, Mujahid turut dilaporkan mengutuk tindakan memecahkan pintu untuk menahan pesalah khalwat dan berharap ia tidak akan berlaku dalam pembaharuan yang akan dilakukan nanti.

Tidak bersetuju dengan kenyataan Mujahid, Musa berkata, serbuan dan tangkapan yang dilakukan Pegawai Penguatkuasa Agama adalah berdasarkan undang-undang yang telah dikanunkan iaitu Enakmen Tatacara Jenayah Syariah.

“Ia juga adalah berdasarkan maklumat dan aduan. Apabila telah wujud aduan maka ia bukan lagi isu peribadi sebaliknya telah diketahui umum.

“Maka, telah menjadi tanggungjawab kerajaan yang memerintah untuk mengambil tindakan sebagai tanggungjawab kepada rakyat,” katanya


Tiada ulasan: