Sabtu, 13 Oktober 2018

Anwar: Saya menang hasil sokongan semua kaum


Anwar bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail 
selepas diisytiharkan menang dalam PRK Port Dickson.
(Gambar Reuters)
 
PORT DICKSON: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemenangannya hari ini adalah bukti beliau mendapat sokongan kuat pengundi berbilang kaum dan latar belakang, serta tanda keyakinan berterusan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu.

“Saya sangat gembira dan rendah diri dengan keputusan ini,” kata presiden PKR itu selepas diisytiharkan pemenang, menewaskan 6 pencabarnya dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.

Anwar berkata, terdapat “sokongan penuh daripada semua kaum” dan peningkatan besar dalam sokongan tentera yang didaftarkan sebagai pengundi di kawasan itu.

Anwar mendapat 31,016 undi menewaskan pencabar terdekatnya daripada PAS, Mohd Nazari Mokhtar yang memperoleh 7,456 undi.

Majoriti 23,560 undi yang diperolehinya melebihi bekas ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah walaupun peratusan keluar mengundi lebih rendah, iaitu 58.25%.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau sudah menghubungi Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengucapkan terima kasih atas sokongan diberikan kepadanya.

“Beliau gembira dengan keputusan ini,” katanya pada sidang media dihadiri pemimpin tertinggi PH, termasuk calon untuk jawatan timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli.

Anwar kemudiannya menemui ribuan penyokong yang berkumpul di luar bangunan Majlis Perbandaran Port Dickson.

Tiada ulasan: