Sabtu, 13 Oktober 2018

Menyambut calon kalah di Port Dickson

 

ULASAN | Proses pengundian yang berlangsung hari ini sudah berakhir dan seperti selalu tumpuan sekarang ialah mengetahui siapa yang akan muncul sebagai pemenang.

Namun, apa salahnya jika kita melihat lebih daripada itu. Mari kita menaakul siapa yang akan kecundang dan kalah teruk.

Jika mahu melihat siapa menang, setiap penyokong ketujuh-tujuh calon yang bertanding semestinya yakin bahawa calon merekalah yang akan menang.

Atau sekurang-kurangnya itulah yang akan mereka pamerkan di wajah masing-masing. Jujur atau tidak, ia adalah aspek yang kedua atau ketiga.

Ada yang kata pasti menang, ada yang menggunakan mantik "tidak mustahil boleh menang" dan sudah tentu ada calon yang awal-awal lagi sedar - paling tidak dalam lubuk hatinya yang paling dalam - bahawa dia memang akan kalah.

Mari kita tunggu dan lihat siapa akan kalah.

Jika calon mewakili parti kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim kalah, ia akan memperlihatkan senario politik yang paling menarik. Walaupun hampir mustahil ia akan berlaku.

Jika sekiranya pencabar utamanya daripada PAS, Mohd Nazari Mokhtar, yang dikatakan tidak mustahil boleh menang itu kalah, itu bukan sesuatu yang kecil skala mustahilnya.

Memang adat bertanding

Setiap calon ada angan-angan tersendiri terhadap kerusi bagi kawasan pusat pelancongan terkenal itu, namun keupayaan masing-masing tidak sama.

Begitu juga soal ketokohan calon, kepercayaan terhadap parti di mata pengundi dan niat masing-masing.

Pengundi di Port Dickson dilihat membuat pilihan yang dirasakan dapat memberi sebanyak mungkin kebaikan untuk mereka dan kawasan itu sendiri.

Beberapa jam lagi kita dapat melihat apakah keberadaan calon PAS mampu menghasilkan sesuatu yang luar biasa (luar biasa itu tentulah tak semestinya menang), atau apakah bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad akan panjang langkahnya.




Dan seorang lagi seteru bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan itu - apakah akan terus berlari di tepian pantai Port Dickson bermula esok.

Semua calon dan penyokong pembangkang mahu lihat Anwar tewas tentunya.

Sebab itu saya katakan lebih menarik untuk melihat siapa kalah. Satunya, yang kalah itu ada enam orang berbanding seorang yang menang.

PRK ini bukan semacam Pesta Bola Merdeka suatu ketika dulu apabila ada masanya kedua-dua pasukan boleh muncul juara bersama di perlawanan akhir.

Seorang calon wajib menang dan mesti enam seterunya kalah.

Sekiranya kita asyik melihat siapa yang menang, ia terlalu klise dan tak cukup mendebarkan.

Justeru, mari kita ucapkan selamat menikmati kekalahan lebih awal kepada yang kalah nanti.

Kemudian seperti kebiasaan lain, kita akan dengar kalimah kalah atau menang adat bertanding.

Seterusnya masing-masing akan buat-buat lupa apa saja yang diucapkan sepanjang kempen, kerana itulah politik dan hal-hal yang tak pernah selesai.


N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini yang berpangkalan di Kota Bharu, Kelantan.

Tiada ulasan: