Rabu, 10 Oktober 2018

Anwar beri keterangan berhubung berita palsu sebelum PRK PD berakhir

THE MALAYSIAN TIMES
 


PORT DICKSON- Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan memberi keterangan berhubung dakwaan beliau disiasat ​​​​​​ oleh pihak berkuasa Singapura kerana terbabit dalam kes liwat di negara itu sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson berakhir.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, DSP Mohd Faisal Mohd Noor yang mengesahkan perkara itu berkata buat masa ini, wakil Anwar telah mengesahkan akan memberikan sepenuhnya kerjasama bagi siasatan berkenaan.

“Kami belum lagi mengambil keterangan Anwar kerana dia masih sibuk dengan kempennya tetapi kami telah dimaklumkan bahawa dia akan bekerjasama. Keterangan Anwar akan diambil sebelum hari mengundi PRK berakhir Sabtu ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Faisal berkata setakat ini mereka telah merekodkan keterangan daripada empat individu termasuk pengadu iaitu Pengarah Komunikasi Strategik PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, yang membuat laporan polis berhubung berita palsu berkenaan, 1 Okt lepas.

Selain Ahmad Fahmi, tiga lagi individu lain ialah anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam, wakil media dari Singapura serta wakil media Utusan Malaysia juga telah selesai memberi keterangan.

Pada 30 Sept lepas, Lokman Noor menerusi satu hantaran dalam akaun Facebook miliknya memetik sumber berita mendakwa kononnya Anwar disiasat oleh pihak berkuasa Singapura kerana terbabit dalam kes liwat di negara itu.

Bagaimanapun, portal berita tersebut yang berpangkalan di republik itu menafikan telah mengeluarkan berita tersebut dan semakan juga mendapati Lokman Noor telah memadamkan kiriman berkenaan di laman sosialnya.–Bernama

Tiada ulasan: