Isnin, 6 November 2017

SPRM tahan 22 termasuk wanita Vietnam bergelar Datuk

 
Ia berkait isu pencerobohan nelayan asing di perairan Malaysia.


SPRM
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad bersama APMM pada sidang medianya membongkar mengenai tangkapan dibuat dalam ‘operasi Armada’.


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 22 warga tempatan dan asing kerana terlibat dalam pencerobohan nelayan asing di perairan negara, termasuk seorang wanita Vietnam bergelar “Datuk”.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata kesemua tangkapan dibuat dalam operasi besar-besaran semalam di Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Beliau menambah antara individu itu, 6 merupakan penjawat awam dari Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) manakala seorang bertugas di Jabatan Perikanan.

Turut ditangkap ialah 9 warga tempatan yang bersubahat dengan nelayan asing untuk memasuki perairan negara, dan 7 warganegara Vietnam, termasuk seorang wanita bergelar Datuk.

Beliau berkata sisatan SPRM dengan kerjasama APMM turut merampas wang rasuah berjumlah RM1.9 juta dan membekukan 44 akaun bank berjumlah RM2 juta.
  SPRM menangkap 9 di Pahang, 3 di Terengganu, 4 di Sarawak, 5 di Sabah dan satu di Labuan.

“SPRM memandang serius tangkapan warga tempatan yang dipercayai menyalahgunakan permit yang diperolehi, dengan memberi permit itu untuk nelayan asing dari Vietnam masuk ke perairan negara.

“Satu permit dipercayai dijual antara RM50,000 hingga RM100,000,” katanya pada sidang media
Ops Armada di ibu pejabat SPRM.

Dzulkifli berkata SPRM dengan kerjasama APMM melancarkan Ops Armada yang merupakan satu operasi bersama menerusi pendekatan National Blue Ocean Strategy (NBOS) bagi membongkar isu pencerobohan nelayan asing di perairan Malaysia.

Beliau berkata berdasarkan statistik APMM antara 2006 dan awal November lalu, sebanyak 1,063 bot nelayan asing bersama 8,898 kru termasuk warga Vietnam, Thailand dan Indonesia ditahan.

Daripada jumlah itu, bot Vietnam mencatatkan bilangan tertinggi dan jumlah bot yang ditahan adalah sebanyak 605 buah, diikuti Indonesia (335), Thailand (100), Filipina (9), China dan Singapura masing-masing 6 buah, manakala Brunei dan Taiwan masing-masing sebuah bot.

Beliau berkata kesemua individu yang ditangkap akan dibawa untuk mendapatkan perintah reman oleh mahkamah.

Tiada ulasan: