Isnin, 6 November 2017

Mangsa banjir Kedah turun kepada 2,790 orang

 
13 pusat pemindahan ditutup 7.00 pagi tadi selepas mangsa banjir dibenarkan pulang berikutan air sudah surut dan keadaan cuaca cerah pada masa ini.


kedah

ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir Kedah sehingga 12.00 tengah hari ini menurun kepada 2,790 orang berbanding 3,402 yang direkodkan pagi tadi.

Pengarah Pertahanan Awam Negeri Lt Kol (PA) Mohd Zul Khairi Shamsuddin berkata kesemua mangsa daripada 752 keluarga ditempatkan di 29 pusat pemindahan di Kuala Muda, Yan, Kulim, Bandar Baharu, Baling dan Pendang.

Di Kuala Muda, 14 pusat pemindahan masih dibuka iaitu di Dewan Kampung Tengah Padang Temusu menempatkan 70 mangsa, Dewan Kampung Bukit Belah Batu Dua (19), Dewan Kampung Lebai Ali (171), Dewan Taman Bedong Jaya (72), surau Taman Malinja (50) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Gedong (79).

Selain itu, Dewan Kampung Segantang Garam (38), surau Kampung Haji Ngah (8), surau Kampung Jawa (155), Dewan Kampung Bujang (86), Dewan Kampung Sungai Pial (171), surau Kampung Jilid 4/5 (70), Dewan Taman Setia Budi (61) dan surau Kampung Lebai Ali dengan 298 mangsa.
  Di Yan, 2 pusat pemindahan dibuka di surau Kampung Teroi Bukit (89) dan surau Kampung Kepala Bukit (75).

Di Kulim pula 10 pusat pemindahan dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Selasih (46), Surau Al-Haq (30), Dewan KEDA Naga (61), SK Permatang Tok Dik (563), Tadika Kemas Padang Limau (lapan), Surau Al-Ikhlas Karangan (231), SK Sungai Karangan (30), Masjid Selarong Panjang (28), surau Kampung Baru Jemerli (20) dan SK Merbau Pulas seramai (88).

Sementara itu, 1 pusat pemindahan dibuka masing-masing di Bandar Baharu iaitu Dewan Sungai Batu, menempatkan 25 mangsa, di Baling di Masjid Kuala Bakong (114) dan di Pendang di Dewan Seminar (34).

Dalam pada itu, 13 pusat pemindahan ditutup seawal 7.00 pagi tadi selepas mangsa banjir dibenarkan pulang berikutan air sudah surut dan keadaan cuaca cerah pada masa ini.

Tiada ulasan: