Jumaat, 11 Ogos 2017

RUU Perkahwinan & Perceraian 2016 : Kenapa Kenyataan Dr Mujahid Senada DAP ? – Dr Kamarul





Bila kerajaan mengumumkan bahawa Rang Undang-Undang Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan Dan Perceraian) (Pindaan) 2016 (RUU 164) akan dibentangkan tanpa mengandungi Fasal 88A yang akan menghalang penukaran agama anak secara unilateral (sebelah pihak), sepatutnya umat Islam di negara ini menyambutnya dengan baik lah.


Ini kerana Fasal 88A ini bukan setakat bertentangan dengan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Subashini Rajasingam lawan Saravanan Thangathoray umpamanya yang menyebut bahawa perkataan ‘ibu bapa’ di dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan adalah merujuk kepada salah satu daripada ibu atau bapa sahaja.

Malah, Fasal 88A ini juga bertentangan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 pada 23-25 Jun 2009 bahawa “apabila salah seorang pasangan (ibu atau bapa) memeluk agama Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan adalah secara langsung beragama Islam”.

Tidak peliklah jika ketiadaan Fasal 88A ini dijadikan satu isu besar oleh DAP, dengan para pemimpin mereka berlumba-lumba mengeluarkan kenyataan mengecamnya, termasuklah Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching; Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto; dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy.

Tetapi sangatlah pelik jadinya bila Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen Parit Buntar merangkap Naib Presiden AMANAH, sebuah parti politik yang mendakwa memperjuangkan Islam, turut sama mengecamnya.

Bagaimanapun, inilah yang dilaporkan oleh portal berita The Malaysian Insight di bawah tajuk “Putrajaya tidak peduli kebajikan kanak-kanak, kata ahli parlimen pembangkang” semalam, 8 Ogos 2017:

“Ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusof Rawa berkata tindakan Putrajaya itu seolah tunduk kepada tekanan daripada badan agama yang menyebabkan klausa itu ditarik balik pada saat akhir.

“Tanpa membahaskan akta ini dengan klausa tersebut sepenuhnya di Parlimen, seolah-olah Putrajaya memberitahu kepada rakyat terutama orang bukan Islam mereka tidak kisah dengan kebajikan kanak-kanak.

“Apa yang saya kisah ialah apabila salah seorang mereka, ibu bapa adalah Islam maka anak pun perlu ikut juga,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Malah katanya, tindakan itu bertentangan dengan nilai Islam yang berlandaskan belas kasihan, keadilan dan memberi kebaikan kepada kanak-kanak.”

Bila Dr Mujahid bercakap mengenai betapa Putrajaya seolah tunduk kepada tekanan daripada badan agama, apakah Dr Mujahid nak kata bahawa AMANAH bukan parti agama?

Bila Dr Mujahid bercakap mengenai betapa ketiadaan Fasal 88A ini kononnya bertentangan dengan nilai Islam yang berlandaskan belas kasihan, keadilan dan memberi kebaikan kepada kanak-kanak, apakah Dr Mujahid nak kata bahawa nilai Islam itu lebih utama berbanding hukum Islam?

Dah makin pening Dr Mujahid ni nampaknya.

*Dr Kamarul Zaman Yusoff, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).


Tiada ulasan: