Jumaat, 25 Ogos 2017

Presiden Pas sedia kerjasama RCI Memali

Abdul Hadi Awang
 MALAYSIA GAZETTE

MARANG – “Buka baliklah kaset-kaset saya,”

Itu kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang apabila ditanya dakwaan Peristiwa Memali berpunca daripada amanatnya sekitar tahun 80-an.

Ketika itu, ceramah-ceramah pimpinan Pas termasuk dirinya disebarkan melalui penjualan kaset.

Ahli Parlimen Marang itu tidak ada sebarang halangan sekiranya kerajaan mahu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Memali.

Malah beliau bersedia bekerjasama ketika mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan kerajaan bersedia menubuhkan RCI kes yang berlaku tahun 1985 itu.

“Kes Memali ini banyak tersirat dan tersembunyi. Mereka yang hidup masa tu tak tahu (apa puncanya) apatah lagi generasi muda.

“Ramai jadi mangsa bukan sahaja Ibrahim Libya, polis juga jadi mangsa,” katanya ketika ditemui di Marang hari ini.

Ditanya dakwaan Lim Kit Siang yang Memali berpunca daripada Pas, Abdul Hadi berkata; “Itu sudah buat keputusan..biar buat penyiasatan dahulu.”

Mengulas mengenai amanatnya yang menjadi kontroversi, Abdul Hadi berkata, orang ramai tidak wajar mengambil beberapa perkataan daripada ceramahnya selama satu jam pada tahun 1983 dahulu.

Menurutnya, ceramahnya itu sudah dibukukan dan sudah tiga kali dicetak sejak tahun 2002.

“Saya difahamkan, ia (ceramahnya itu) sudah dikaji pihak berkenaan termassuk Tun Musa Hitam (ketika itu Menteri Dalam Negeri) dan tidak ada apa-apa tuduhan daripada segi undang-undang dan agama,” jelasnya lagi.

Beliau juga memberitahu, sudah ramai orang tertentu yang pada mulanya menuduh amanatnya menjadi punca sudah meminta maaf kepadanya.

“Terpulang kepada kerajaan hendak tubuhkan (RCI). Kita (Pas) terus menerus tiap-tiap tahun diadakan.

“Kalau RCI saya dipanggil, Insya Allah akan bekerjasama,” katanya.

Ditanya sama ada RCI itu hanya untuk kepentingan politik UMNO, Abdul Hadi berkata pihaknya hanya mementingkan bagi menegakkan keadilan.

Mengenai kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjadi perdana menteri ketika itu yang mendakwa polis diserang terlebih dahulu di Memali, Abdul Hadi berkata, setakat diketahuinya, mangsa di Memali tidak ada senjata kecuali senjata kampung sahaja.

“Kalau komunis pun ikut prosedur, kepung dulu, sekat makanan dulu apalagi orangg awam..ada prosedurnya.”

“Dalam Islam pula sekiranya dianggap bercanggah kerajaan kita kena hantar wakil (dulu) kena dengar dulu alasan mereka (mangsa Memali)..sebab itu kita siasata terperinci,” jelasnya.- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: