Selasa, 15 Ogos 2017

Pakatan Harapan tidak terlibat berbincang dengan Pas

ARIF ATAN

 Hatta Ramli


Hanya PKR mengadakan perbincangan dengan Pas tanpa melibatkan penyertaan tiga komponen parti dalam Pakatan Harapan, tegas Pengarah Pilihan Raya AMANAH Nasional, Dr Mohd Hatta Ramli.

Menurutnya, Pakatan Harapan setakat ini tidak mempunyai agenda berkaitan rundingan dengan Pas menjelang pilihan raya umum akan datang.

"Pakatan Harapan tidak membincangkan perkara tersebut (rundingan dengan Pas) dan yang berbincang itu mungkin hanya Azmin. Tiada kaitan dengan Pakatan Harapan.

"AMANAH menganggap itu sebagai perbincangan eksklusif Azmin atau PKR dan tidak ada kaitan dengan Pakatan Harapan," ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengakuan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali semalam bahawa wujud perbincangan 'sangat tidak rasmi' antara Pakatan Harapan dengan Pas sejak beberapa bulan terakhir ini.

Namun, Menteri Besar Selangor itu memberitahu belum ada perbincangan secara rasmi dengan Pas sepanjang tempoh tersebut.

Azmin yang baru dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan pada 10 Ogos lalu turut dipetik berkata, perbincangan dengan Pas perlu ditingkatkan bagi mencari titik pertemuan dan merangka kerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Mengulas lanjut, Dr Hatta menegaskan perbincangan yang dikatakan 'tidak rasmi' antara PKR dengan Pas itu bagaimanapun tidak menyentuh dan memberi kesan kepada Pakatan Harapan.

Ditanya tentang kemungkinan perlunya kesemua komponen parti di bawah Pakatan Harapan berbincang dengan Pas, Ahli Parlimen Kuala Krai itu berkata, hal tersebut sama sekali tidak timbul.

"Tidak pernah ada keputusan untuk Pakatan Harapan berbincang dengan Pas. Perbincangan dengan parti itu (Pas) tidak termasuk dalam perkara yang diberi tumpuan dalam Pakatan Harapan," jelas beliau.

Sebaliknya, Dr Hatta berkata, fokus Pakatan Harapan ketika PRU-14 semakin hampir ini adalah perbincangan tentang agihan pembahagian kerusi bertanding.

"Jawatankuasa Pilihan Raya pun sudah mengadakan perbincangan termasuk merangka gerak kerja pilihan raya. Urusan-urusan lain termasuk perbincangan dengan Pas tidak termasuk dalam fokus Pakatan Harapan," tambahnya lagi.

Tiada ulasan: