Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Kuasa pemutus bersabit soal penentuan calon yang layak
bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14
9PRU14) akan datang bukan di tangan Datuk Seri Azmin Ali.
Ketua Whip PKR Datuk Johari Abdul menegaskan, Azmin yang baru dilantik
sebagai pengarah pilihan raya bagi gabungan itu sebaliknya berperanan
dalam hal-hal berkaitan kempen, jentera dan persiapan PH bagi menghadapi
pilihan raya yang mungkin berlaku pada bila-bila masa.
Johari menambah, penentuan calon hanya akan dimuktamadkan atas
persetujuan keempat-empat parti dalam gabungan itu, bukannya atas
keputusan Timbalan Presiden PKR itu semata-mata.
"Adapun pemilihan calon itu yang terakhir. Bukan dikendalikan oleh
beliau seorang, tiap-tiap parti. Tiap-tiap parti, kita ada empat parti
sekarang. Selepas rundingan kerusi diselesaikan tiap parti akan
calonkan. Amanah calon Amanah, DAP calon DAP, PPBM dan akhirnya Keadilan
(PKR).
"Proses untuk calon itu pula mesti di bawah. Dia bermula dengan cabang,
cabang ke negeri. Negeri ke pusat. Pusat ini maksudnya jawatankuasa,
ada satu jawatankuasa yang memilih lepas itu dia masuk biro politik.
Dari biro politik baru lah dia tentukan kemudian baru diumumkan nama.
Baru lah naik ke PH. Proses dia panjang bukan Azmin sorang.
"Bukan tertakluk kepada dia. Itu sebahagian. Maknanya mungkin 10
peratus dari tugas dia itu ialah untuk pastikan nama-nama ini tersedia.
Tetapi bukan dia yang putuskan. Parti yang putuskan. Dia pun tidak ada
kuasa sebab yang putuskannya ialah parti setelah rundingan kerusi ini
selesai lah," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Semalam Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan, Azmin
dilantik sebagai pengarah pilihan raya gabungan bagi mengukuhkan
jawatankuasa pilihan raya yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yasin.
Dalam pada itu mengulas lebih lanjut, Johari turut berharap supaya
penyokong akar umbi terus giat menggerakkan jentera gabungan itu di
peringkat bawahan dan tidak menfokuskan soal nama calon bertanding.
"Jadi saya minta akar umbi di bawah buat kerja masing-masing. Rundingan
kerusi sedang berjalan, ada yang selesai. Jadi yang pentingnya kita
buat kerja masing-masing. Ada pun nama calon ini akhir hujung baru nama
calon naik," katanya lagi.
Terdahulu, pelantikan Azmin sebagai pengarah pilihan raya PH mengundang kritikan sebahagian penyokong PKR.
Mereka yang tidak bersetuju dengan keputusan gabungan itu mempersoalkan
kemungkinan jawatan itu disalahguna Azmin yang didakwa mempunyai kuasa
'veto' dalam menentukan calon.
Ketika ditanya mengenai perkembangan rundingan kerusi gabungan itu,
ujar Johari, proses agihan berjalan lancar dan hampir selesai.
"Ada negeri yang hampir siap, ada negeri yang sedang berjalan.
Kebanyakanya hampir (siap) pasal dia ada empat parti kan. Ada yang
sesuai dengan satu parti sudah selesai. Ada yang selesai dengan parti
ini. Ada selesai, dua lagi belum. Jadi begitulah.
"Kemudian di peringkat Parlimen, di peringkat DUN. Proses dia panjang," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan