Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memburu umat Islam yang menyertai kumpulan
atheis supaya fahaman bertentangan dengan agama itu tidak tersebar dan
berkembang dalam negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata
fahaman atheis amat berbahaya dan bercanggah dengan Perlembagaan
Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia.
"Kita mesti buru mereka sebab negara ini adalah negara beragama.
Walaupun kita Islam, kita masih ada banyak agama yang lain seperti
Kristian, Buddha, Hindu dan sebagainya.
"Tidak ada yang tidak beragama dan Perlembagaan Persekutuan menyebut
bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama lain diamalkan
dengan damai. Ia tak sebut atheis. (Sedangkan) atheis melanggar
Perlembagaan Persekutuan dan hak asasi," katanya kepada pemberita dalam
sidang medianya di Dewan Rakyat, petang tadi.
Fahaman atheis didakwa mula berkembang di negara ini, malah satu
himpunan berkaitan fahaman ini buat kali pertama telah diadakan di
negara ini, dan diasaskan oleh Armin Navabi, seorang individu yang
berasal dari Iran.
Shahidan dalam pada itu menggesa penglibatan pelbagai pihak dalam membanteras fahaman berkenaan.
"Kita kena kembalikan mereka semula dan perbetulkan akidahnya jika
mereka orang Islam sebab mereka bukan hendak jadi atheis, sebaliknya
kekurangan ilmu agama.
"Kepada mufti-mufti dan exco negeri kena beri perhatian. Walaupun
bilangan mereka sedikit, kita kena buat secara berhemah, jangan buat
dengan cara yang menimbulkan simpati, nanti mereka popular pula," kata
Shahidan lagi.
Kerajaan sebelum ini berkata akan menyiasat kumpulan umat Islam yang
menyertai Kelab Atheis Republic Kuala Lumpur sebagaimana yang tular
baru-baru ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan