SHAH ALAM: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk
Hamidah Osman akan menulis surat rasmi kepada lembaga disiplin parti
untuk menggesa tindakan tegas diambil terhadap Ketua Armada, Syed Saddiq
Syed Abdul Rahman ekoran membuat beberapa “tuduhan tanpa asas” ke
atasnya.
Memetik portal Free Malaysia Today, Hamidah berkata, Syed Saddiq tidak
wajar membuat tuduhan liar tanpa mengemukakan bukti untuk tuduhannya
itu.
"Saya harap lembaga displin akan bertindak kerana jika diabaikan, dan
ahli parti bebas menyerang satu sama lain secara terbuka, parti akan
musnah.
"Lebih-lebih lagi Syed Saddiq seorang Ketua Pemuda (Armada), jawatan penting parti," katanya dipetik portal itu.
Syed Saddiq sebelum ini menuduh Hamidah sebagai dalang di sebalik tindakan 1,000 ahli PPBM di Perak keluar parti.
Beliau mendakwa tindakan itu dilakukan Hamidah ekoran kecewa dengan
Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak menamakannya
pengerusi negeri Perak.
Semalam, Syed Saddiq mengulangi tuduhannya dan berkata Hamidah seorang agen Umno.
“Tetapi sudah dua kali dia menyerang saya, dan ini sudah keterlaluan.
“Siapa sebenarnya agen Umno, dia atau saya?” soal Hamidah.
Hamidah berkata beliau mengambil pendekatan berdiam diri selama ini atas kepentingan parti.
Malah bekas Ketua Wanita Umno Gopeng itu menambah, pertanyaannya
menerusi sistem pesanan ringkas untuk meminta penjelasan tidak dijawab
Syed Saddiq.
Hamidah menjelaskan, beliau bertemu dengan 1,000 ahli PPBM di Perak
yang keluar parti dan menasihati mereka supaya kekal menentang Umno dan
Datuk Seri Najib Razak.
“Syed Saddiq perlu berterimakasih kepada saya atas initiatif ini, jika
tidak ahli akan pulang ke pangkuan Umno. Dan dia perlu berbuat perkara
sama dengan ahli sayapnya yang meninggalkannya untuk ke Umno,” katanya
merujuk 200 ahli PPBM yang meletak jawatan bulan lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan