PUTRAJAYA: Pengerusi Telekom Malaysia Berhad (TM), Tan Sri Dr Sulaiman
Mahbob dilantik sebagai Pemangku Pengerusi Felda Global Ventures
Holdings Bhd (FGV), menggantikan Tan Sri Isa Samad yang meletakkan
jawatan hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini.
Pelantikan Dr Sulaiman itu merupakan salah satu daripada empat penemuan
yang digariskan dalam laporan bebas yang diketuai Datuk Seri Idris Jala
mengenai krisis FGV.
Laporan berkenaan merujuk kepada tindakan Lembaga Pengarah FGV yang
menggantung Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Zakaria Arshad, Ketua
Pegawai Kewangan (CFO), Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan
Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif
FGV Trading, Ahmad Salman Omar.
Berikut empat penemuan utama yang digariskan:
1. Terdapat fakta yang mencukupi dan alasan munasabah yang bagi Lembaga
Pengarah FGV memulakan prosiding disiplin terhadap CEO, CFO dan dua
pengurusan tertinggi berhubung dakwaan pelanggaran prosedur dalam Delima
Oil Products Sdn Bhd (DOP), FGV perlu teruskan prosiding berkenaan. FGV
perlu meneruskan prosiding berkenaan dan perlu ditekankan bahawa tiada
siapa yang melakukan apa-apa salah laku pada masa ini melainkan
dibuktikan melalui siasatan dalaman. Semasa siasatan dalaman itu, empat
pegawai pengurusan berkenaan boleh membela diri mereka sejajar dengan
undang-undang keadilan asasi
2. FGV dicadangkan untuk menubuhkan pasukan "governance quantum leap"
bagi memperbaiki tadbir urus dan kawalan perniagaan di peringkat
kumpulan dan subsidiari. Berbanding membuat penambahbaikan tambahan, FGV
dengan bantuan pasukan ini contohnya perlu mengenal pasti amalan
terbaik, polisi dan prosedur di dalam dan luar industri dan diguna pakai
di FGV.
3. Kemerosotan prestasi kewangan FGV dan FELDA beberapa tahun ini
memerlukan kajian perniagaan menyeluruh, perlu diselesaikan segera.
4. Bagi menegakkan integriti, semangat kesaksamaan bagi siasatan yang
sedang berjalan dan tadbir urus korporat FGV dan DOP yang betul,
kerajaan memutuskan melantik Tan Sri Isa Samad sebagai Pemangku
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Tan Sri Dr
Sulaiman Mahbob sebagai Pemangku Pengerusi FGV.
Pejabat Perdana Menteri turut menjelaskan, laporan bebas dan keputusan
yang dibuat kerajaan serta FGV tiada kaitan dengan siasatan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap syarikat itu.
Kenyataan itu juga menyebut, siasatan SPRM masih berjalan dan hasilnya akan didedahkan selepas tugas mereka selesai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan