Rabu, 14 Jun 2017

Mufti Perlis Sayu Jumpa Mak Cik Jual Rebung Tengah-Tengah Malam

Hasimi Muhamad



Ketika segelintir daripada kita sedang berehat di rumah bersama keluarga atau sudah lena kerana keesokan harinya akan bangun sahur, ada dalam kalangan kita pula masih berjuang mencari sesuap nasi atau pendapatan bagi menyara keluarga.

Kegigihan seorang wanita berusia yang duduk bersimpuh di lantai dengan hanya berbekalkan kecekalan - menjual sekarung rebung dan beberapa makanan lain ketika jam menunjukkan sudah hampir 12 tengah malam nyata menyentuh hati Mufti Perlis.

Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam entri di laman Facebooknya pada Selasa berkongsi rasa kagum beliau terhadap wanita terbabit yang ditemui duduk di kaki lima di bangunan kedai di Kangar, Perlis.

Menurut Mohd Asri atau juga dikenali sebagai Dr Maza, beliau pada mula bertemu dengan anak kepada wanita terbabit yang masih kecil, yang merupakan Orang kelainan Upaya (OKU) sedang berniaga di hadapan sebuah restoran makanan segera di bandar tersebut.

Atas rasa prihatin dan perasaan ingin tahu selepas mengetahui bahawa ibu kepada kanak-kanak itu juga berniaga di kawasan sekitar, Mohd Asri mencari mak cik itu sebelum menemuinya di kaki lima.

Selepas ditanya Mohd Asri, wanita terbabit yang tinggal di pekan kecil Chuping mengakui menerima bantuan zakat setiap bulan, selain turut mendapat bantuan daripada badan kebajikan.

Namun, kerana tidak mahu hanya duduk sahaja tanpa berbuat apa-apa, wanita terbabit gigih berniaga tanpa mengenal penat lelah, tambahan pula dia perlu menanggung tiga anaknya yang merupakan OKU.

“Saya lihat dia menjual sekarung rebung yang dimasukkan dalam bungkusan-bungkusan kecil. Agak banyak dan berat. Saya bertanya: "Dari mana modal mak cik ambil untuk berniaga?" Dia menjawab: "Mak cik cari dan potong sendiri dari hutan".

“Saya sedih mendengar kesungguhannya berusaha agar tidak meminta-minta. Itulah kemuliaan dan itulah ibadah yang hebat,” demikian kongsi Mohd Asri dalam catatan di laman Facebooknya, semalam.

Mungkin timbul perasaan ingin tahu selepas melihat sekarung rebung yang dibawa oleh wanita terbabit dari pekan Chuping ke Kangar adalah bukan sesuatu yang mudah, Mohd Asri bertanya bagaimana wanita itu melakukannya.

“Dia menunjukkan motosikalnya yang uzur.

“Dia beritahu semalam tayar motosikalnya pecah, dia terpaksa menolak motosikal itu sehingga ke rumah. Dari jam 12 malam, jam 4 pagi baru sampai rumah. Amat sedih saya mendengar,” ujar Mohd Asri.

Sebelum beredar, Mohd Asri memberitahu wanita terbabit supaya pergi ke kaunter pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips) untuk memohon zakat tambahan.

Dengan perasaan sedih, beliau mengatakan bahawa individu seperti mak cik itu yang kuat berusaha untuk mencari pendapatan, dan bukannya hanya menunggu bantuan zakat semata-mata wajar diberikan bantuan.

“Semoga Allah ampuni saya dan segala dosa serta kelemahan saya. Semoga Allah memberikan rezeki kepadanya yang banyak.

“Melihat kepada kesusahan dan kesungguhan orang yang seperti ini, menjadikan kita insaf betapa kita tidak cukup bersyukur kepada Allah atas segala kurniaan-NYA dan betapa sedikitnya ujian yang kita terima,” katanya.

Sehingga kini, status dimuatnaik Mohd Asri mengenai kisah kegigihan penjual rebung itu mendapat perkongsian lebih 11,000 pengguna Facebook.

Ramai netizen melahirkan rasa simpati terhadap wanita terbabit, selain mengagumi ketabahannya mencari rezeki untuk menyara anak-anak.

Ya, sekurang-kurangnya kita tahu bahawa ada insan diluar sana yang boleh dijadikan sebagai inspirasi dalam meneruskan kehidupan. Dan sempena bulan Ramadan yang mulia ini, apa kata kita hulurkan bantuan seikhlas yang mampu kepada mereka yang memerlukan. Paling tidak jika tidak mampu, doa mereka.


DrMAZA.com
 
pada hari Isnin
 
Kesungguhan Mak Cik Penjual Rebong

Ketika jam hampir 12 malam, mak cik ini masih di kaki lima menjual rebong dan beberapa jenis makanan segera. Mula-mula saya bertemu anaknya yang masih kecil berniaga di hadapan KFC Kangar tadi. Dia anak istimewa. Dia memberitahu ibunya juga berniaga di sana. Saya mencari ibunya. Saya dapati wanita yang sudah berusia berniaga di kaki lima.

Saya bertanya: Adakah mak cik mendapat bantuan zakat? Dia menjawab: Ya! Mak cik ada terima zakat secara ...

Lihat Lagi
 
 Foto DrMAZA.com.Foto DrMAZA.com.

Tiada ulasan: