Jumaat, 16 Jun 2017

KPN Khalid dijadual bersara September

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata beliau dijadual bersara wajib pada September ini.
 
"Ya saya bersara wajib bulan September ini, saya cukup 60 tahun," katanya kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Bukit Aman, di sini Jumaat.
 
Pada majlis itu DCP Datuk Mahamad Akhir Darus yang memulakan kerjayanya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 1976 bersara wajib pada 18 Jun ini diganti oleh Ketua Polis Daerah Brickfields SAC Sharul Othman Mansor.
 
Khalid mula menyertai pasukan polis sebagai inspektor di Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur pada 5 Dis 1976 dan mula memegang jawatan Ketua Polis Negara pada 17 Mei 2013.
 
Ketika diminta mengulas dakwaan Sarawak Report yang mengaitkan hubungan beliau dan beberapa pegawai tertinggi PDRM dengan Gopinathan Krishnan atau Gopi, suspek kes melindungi pusat judi haram di Melaka, Khalid sekali lagi menegaskan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberi ruang menyiasat perkara itu dan polis tidak akan campur tangan.
 
"Sarawak Report ini sengaja hendak memburuk-burukkan saya dan organisasi saya. Kita dah tahu kes itu sedang disiasat SPRM, biarlah SPRM siasat, kalau ada perkara-perkara atau kesalahan yang dilakukan oleh sesiapa, sama ada Gopi ataupun pegawai saya, tindakan akan diambil.
 
"Tak payah la Sarawak Report nak tambah semangkuk (campur tangan) pula, biarlah SPRM menjalankan siasatan dan tunggu laporan mereka," katanya.
 
 

Tiada ulasan: