Astro Malaysia Holdings Bhd mencatat keuntungan sebelum cukai lebih rendah kepada RM269.5 juta pada suku pertama berakhir 30 April, 2017 daripada RM280.07 juta yang direkodkan pada suku yang sama tahun lepas.
Perolehan juga susut kepada RM1.33 bilion daripada RM1.36 bilion bagi tempoh yang sama.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Astro berkata, prestasi kurang memberangsangkan pada tempoh yang dinilai tersebut adalah berikutan penurunan perolehan pelesenan, langganan dan pengiklanan.
Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Rohana Rozhan berkata syarikat itu akan terus melabur untuk pertumbuhan perolehan masa depan dengan melaksanakan tiga kewajipan utama di bawah program transformasi digital.
“Kewajipan itu adalah pendigitalan perniagaan legasi utama, mempertingkatkan pemula niaga digital, serta mengukuhkan kekuatan kami dan membangunkan perancangan inovasi yang mantap,” katanya.
Dalam melangkah maju, Rohana berkata, Astro menjangkakan membeli-belah dari rumah, perbelanjaan pengiklanan, perolehan produksi dan saluran NJOI akan menyokong pertumbuhan perolehan dalam tempoh terdekat.
“Manakala perolehan langganan dijangka tidak berubah,” katanya.– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan