THE MALAYSIAN TIMES
ALOR SETAR: Selepas gagal memperoleh barang
berharga di pejabat Jabatan Imigresen Kedah di Tingkat Dua Bangunan
Kementerian Dalam Negeri (KDN), Anak Bukit di sini, sekumpulan pencuri
kemudian bertindak memecah masuk pejabat Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di bangunan yang sama.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin berkata, kejadian
dipercayai berlaku pada tengah malam tadi dan hanya disedari kakitangan
kedua-dua pejabat berkenaan ketika memulakan tugas pagi tadi.
“Hasil pemeriksaan mendapati pencuri tersebut berjaya melarikan wang
tunai hampir RM2,000 dalam kejadian di bangunan yang terletak
bertentangan di Bangunan Wisma Persekutuan tersebut.
“Kami turut menjumpai beberapa kesan cap jari di kedua-dua pejabat
berkenaan dan tindakan mengesan suspek sedang dijalankan. Sehingga kini
kami masih belum membuat sebarang tangkapan,” katanya.
Mohd Rozi berkata, sistem kawalan yang longgar memberi peluang kepada pencuri untuk memecah masuk ke dua pejabat tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan
hukuman penjara maksimum 14 tahun penjara dan denda.– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan