KUALA LUMPUR: DAP menolak dominasi Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(PPBM) dalam struktur kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang akan
diumumkan tidak lama lagi.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng mengulas ura-ura dua jawatan
tertinggi PH, iaitu Pengerusi dan Presiden masing-masing akan diisi oleh
Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Saya tidak akan bersetuju jawatan pengerusi dan presiden (PH) diisi
oleh BERSATU (PPBM). Ini adalah suatu monopoli dan penguasaan kawalan
(terhadap PH)," katanya kepada media, hari ini.
Jumaat lalu Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bermesyuarat mengenai
struktur kepimpinan gagasan berkenaan dalam usaha mendepani Pilihan Raya
Umum ke-14 akan datang, dan akan didaftarkan kepada Pendaftar
Pertubuhan (RoS) dalam masa terdekat.
Dilaporkan struktur itu akan diumumkan pada minggu ini.
Selain Dr Mahathir dan Muhyiddin dinamakan sebagai Pengerusi dan
Presiden PH, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula didakwa
sebagai Penasihat gagasan itu.
Guan Eng ketika mengulas lanjut berkata apa sahaja keputusan yang bakal
diambil perlu mendapat sepakata di kalangan parti-parti di dalam PH.
"Saya tidak tahu bagaimana cadangan ini boleh bocor kepada media," katanya ringkas.
Cadangan struktur kepimpinan itu didakwa dikemukakan PPBM dengan turut
menamakan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Pengerusi
dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden PH.
Sementara itu Guan Eng bersetuju supaya Dr Mahathir dilantik sebagai
kepimpinan utama bersama pemimpin yang lain, apabila diajukan mengenai
cadangan bekas perdana menteri itu mengetuai pilihan raya.
Namun begitu Ketua Menteri Pulau Pinang itu menyifatkan Anwar maish
tokoh yang relevan dalam politik negara meskipun sedang menjalani
hukuman penjara.
"Kami menyokong Anwar sebagai calon perdana menteri tetapi kita perlu
terima hakikat bahawa Anwar tidak boleh menduduki jawatan itu terus atas
faktor kelayakan (undang-undang).
"Justeru, akan ada tempoh peralihan sementara," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan