Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Sikap takut kepada Islam menjadi punca kepada kritikan Datuk
Zaid Ibrahim terhadap kepimpinan kerajaan negeri Kelantan yang ditadbir
PAS.
Exco Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi bagaimanapun berkata rakyat
negeri itu tidak 'termakan' dengan kritikan yang dilemparkan bekas
menteri undang-undang itu kerana ia bukan pertama kali berlaku.
"Semua rakyat Kelantan amat mengenali Zaid Ibrahim, iaitu seorang
peguam yang menyaman kerajaan Kelantan kerana hendak melaksanakan hudud.
"Serangan beliau kali ini juga atas sifat yang sama, iaitu sama ada
takut di atas kebangkitan Islam atau takut terhadap apa yang dibawa oleh
kerajaan Islam Kelantan atau di atas rasa kebencian yang tinggi,"
katanya kepada Antarapos.
Che Abdullah mengulas kritikan Zaid pada semalam yang berkata sudah
tiba masanya untuk rakyat Kelantan, khususnya anak muda membuat
perubahan di negeri itu menerusi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan
datang.
Zaid mendakwa kerajaan PAS Kelantan gagal melakukan pembaharuan kerana
'sibuk' dengan hukum-hakam dan aktiviti jual balak sekaligus tidak tahu
bagaimana untuk meningkatkan hasil negeri.
Bukan itu sahaja rakyat negeri itu juga perlu memilih pemimpin yang
mempunyai kepakaran dan kewarasan, dan bukannya yang hanya pandai ilmu
agama dan beserban semata-mata.
Bekas pemimpin Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) juga
mengaitkan betapa Kelantan sangat mundur dari segi pelbagai bentuk
kemajuan dan mempunyai banyak masalah sosial.
Jangan cari kesalahan
Che Abdullah kemudiannya membidas kata-kata Zahid yang dilihatnya
kurang senang dengan imej berserban yang sering ditampilkan pemimpin
PAS, selain bertegas mana-mana negeri juga turut menghadapi masalah yang
sama.
"Yang duduk hina pemimpin pak lebai dan sebagainya, berapa ramai
pemimpin ulama yang berada dalam kerajaan Kelantan? Lebih ramai yang
tidak berpendidikan agama pun.
"Sebab itu perjuangannya jelas satu sahaja, apa-apa sahaja untuk serang
kerajaan Kelantan. Apabila beliau sebut rakyat Kelantan mundur, beliau
kena faham bahawa Kelantan dari segi negeri ia ditadbir oleh PAS.
"Dari segi persekutuannya, kita mempunyai kerajaan yang sama, kuasa
jauh lebih besar dari segi pembangunan, pendidikan dan sebagainya.
Termasuklah perkara yang disebut berkenaan dadah. Agensi-agensi
penguatkuasaan bersabit hal dadah semuanya di bawah agensi persekutuan.
"Sebagai seorang peguam dan tokoh politik yang senior, sepatutnya
beliau faham sangat. Tetapi ini buat kenyataan sebegini kerana kebencian
terhadap kumpulan dan parti Islam," tegasnya lagi.
Dalam masa yang sama Che Abdullah menegaskan pihak luar akan 'tutup
mata' dengan apa sahaja kebaikan yang dilakukan kerajaan negeri,
termasuk Zaid, kerana sikap mereka sendiri yang tidak mahu melihat dari
kaca mata Islam.
Sedangkan beberapa perkara yang pernah dibawa PAS Kelantan juga ditiru di peringkat kerajaan persekutuan, tambahnya lagi.
"Zaid tidak pernah melihat dari kaca mata Islam sebab itu beliau sebut
kerajaan Kelantan tidak buat apa-apa. Kerajaan Kelantan mengharamkan
judi di sini, bagi beliau itu tidak bawa kepentingan apa-apa sebab
beliau tidak lihat dari kaca mata Islam.
"Kita mengharamkan arak untuk dijual kepada pemuda Islam, bagi beliau
tidak apa-apa sebab pada beliau minum arak tidak ada apa-apa.
"Kerajaan negeri meletakkan dana perbendaharaan Kelantan di perbankan
Islam. Pada beliau tidak ada apa-apa sedangkan tindakan itulah yang
menyebabkan bank-bank lain membuka kaunter perbankan Islam dan
sebagainya. Namun beliau tidak nampak ia perkara yang baik kerana tidak
melihat dari kaca mata Islam," jelas Che Abdullah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan