ANTARAPOS.COM
KUALA LUMPUR: 'Raja Bomoh' atau nama sebenarnya, Ibrahim Mat Zin
mengaku bahawa tindakannya melakukan ritual pelik, termasuk aksi
'melihat menggunakan teropong buluh' dan 'angkat kelapa' adalah
‘lakonan’ yang diarahkan oleh individu tertentu yang tidak dapat
didedahkannya.
Bercakap pada sidang akhbar di Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur, hari
ini, Ibrahim, 66, mengakui bahawa tindakannya yang kononnya untuk
membantu menyelesaikan beberapa kejadian dan isu besar di negara ini,
sebenarnya hanyalah bagi memeriahkan suasana.
“Kini saya tidak lagi mahu dikenali dengan panggilan Raja Bomoh dan menyesali segala perbuatan saya sebelum ini.
“Saya memohon ampun dan maaf kepada semua umat Islam di Malaysia dan
seluruh dunia,” katanya yang dipetik oleh portal Utusan Online.
Pengakuan bertaubatnya itu disaksikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan,
Datuk Zulkifli Al Bakri; Pengarah JAWI, Abdul Aziz Jusoh dan Ketua
Pegawai Penguatkuasa Agama JAWI, Wan Jaapar Wan Ahmad.
Sementara itu, portal itu turut memetik Abdul Aziz sebagai berkata,
Ibrahim mengaku bersalah atas segala pertuduhan yang dibacakan kepadanya
di bawah seksyen 7(a), Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah
Persekutuan) 1997 bagi kesalahan menghina Islam.
“Disebabkan faktor kesihatan dan umur, Ibrahim diperintah untuk
berkelakuan baik selama enam bulan dan menjalani kelas akidah serta
fardu ain.
“Diharapkan hukuman yang diterima dapat memberi pengajaran kepada
beliau menyesali dan bertaubat atas semua perbuatannya,” katanya.
Ibrahim mencetuskan kontroversi apabila dirinya sering melakukan ritual pelik.
Terakhir, pada 13 Mac lalu dia melakukan ritual di hadapan Institut
Perubatan Forensik Nasional, Hospital Kuala Lumpur kononnya 'memagar'
Malaysia dari diserang negara asing khususnya Korea Utara.
Antara ritual peliknya yang lain termasuk mencari pesawat Penerbangan
Malaysia MH370 yang hilang dan ‘merestui’ tempat kejadian kemalangan
yang membabitkan bekas pemimpin DAP, mendiang Karpal Singh.
Sebelum ini Ibrahim ditahan oleh JAWI di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pada 22 April lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan