Rabu, 26 April 2017

Nazmi Faiz didenda RM3,000, gantung satu perlawanan

Bernama

Penggantungan itu akan dilaksanakan pada 6 Mei untuk aksi Liga Super antara JDT dan Melaka United di Stadium Hang Jebat

KUALA LUMPUR: Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Nazmi Faiz Mansor digantung satu perlawanan dan didenda RM3,000 berikutan kekasaran dan terjahan terhadap pemain Pahang sewaktu aksi suku akhir kedua Piala FA musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Daljit Singh Sidhu dalam kenyataan hari ini berkata hukuman itu dijatuhkan selepas pihaknya melakukan penilaian dan meneliti rakaman video perlawanan antara JDT dan Pahang yang berlangsung Ahad lepas.

“Penggantungan itu akan dilaksanakan pada 6 Mei untuk aksi Liga Super antara JDT dan Melaka United di Stadium Hang Jebat,” katanya.

Pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA itu, Pahang layak ke pusingan separuh akhir selepas mencatat kemenangan dengan agregat 4-3 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.-Bernama

Tiada ulasan: