DAPATAN daripada kaji selidik 10,523 pengundi
mengenai kebolehpindahan undi antara parti pembangkang yang dilakukan
oleh Invoke Centre for Policy Initiatives (I-CPI) tidak perlu dipandang
serius oleh rakyat.
Ini kerana diketahui ramai bahawa I-CPI adalah milik Naib Presiden
PKR, Rafizi Ramli, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap keneutralan
kaji selidik tersebut.
Sebagai pemimpin tinggi PKR, tentu akan ada tuduhan bahawa dapatan
kaji selidik tersebut berpotensi digunakan bagi melonjakkan imej PKR
sebagai peneraju utama Pakatan Harapan (PH)
Tuduhan ini tidak boleh dipandang remeh kerana PKR didapati paling
diterima oleh pengundi parti komponen PH lain, iaitu 87.2% pengundi DAP,
80.4% pengundi Amanah dan 80.3% pengundi PPBM.
Ini berbanding PPBM yang hanya diterima oleh 61.4% pengundi DAP, 66.3% pengundi PKR dan 78.0% pengundi Amanah.
Amanah hanya diterima oleh 61.0% pengundi PKR, 65.5% pengundi DAP dan
68.2% pengundi PPBM manakala DAP pula hanya diterima oleh 69.8%
pengundi PPBM, 81.7% pengundi PKR dan 85.1% pengundi Amanah.
Berdasarkan dapatan kaji selidik ini, maka Amanah kelihatan paling
menunjukkan semangat setiakawan yang tinggi tetapi tidak mendapat
balasan sama dari ketiga-tiga parti komponen lain, khususnya PKR.
Masalah kelihatan berlaku di dalam hubungan antara PKR dan Amanah
apabila hanya 61.0% pengundi PKR sahaja menerima Amanah berbanding 80.4%
pengundi Amanah yang menerima PKR.
Begitu juga dengan hubungan antara PKR dan PPBM yang turut tidak
seimbang apabila hanya 66.3% sahaja pengundi PKR menerima PPBM
berbanding 80.3% pengundi PPBM yang menerima PKR.
Hubungan antara DAP dan Amanah juga kelihatan tidak seimbang bila
hanya 65.5% pengundi DAP sahaja menerima Amanah berbanding 81.5%
pengundi Amanah yang menerima DAP.
Begitu juga dengan hubungan antara DAP dan PPBM yang kelihatan tidak
seimbang bila hanya 61.4% pengundi DAP sahaja menerima PPBM berbanding
69.8% pengundi PPBM yang menerima DAP.
Kesemua ini mendedahkan ketidakikhlasan antara sesama parti komponen
PH, khususnya DAP terhadap PPBM dan Amanah serta PKR terhadap Amanah dan
PPBM.
Oleh itu, dalam pada ia menunjukkan penerimaan semua komponen PH
terhadap PKR, dapatan kajiselidik ini juga menunjukkan belang sebenar
bukan sahaja PKR tetapi juga DAP terhadap parti-parti rakan mereka.
Ia menjadi petanda awal betapa parti-parti komponen PH ini, khususnya
PKR dan DAP, mempunyai kecenderungan untuk mensabotaj antara satu sama
lain demi kelangsungan politik sendiri.
Amanah dan PPBM seharusnya memikirkan semula tahap komitmen mereka
terhadap DAP dan PKR apabila dapatan kaji selidik ini menunjukkan
kedua-dua parti ini tidak ikhlas terhadap mereka.
Umumnya, dapatan kaji selidik ini bahawa BN mendahului atau PAS
tercorot tidak menjanjikan apa-apa apabila jumlah responden yang tidak
memberitahu parti yang mereka akan undi adalah terlalu tinggi, iaitu
35%.
Sekali lagi, dapatan kajiselidik ini mungkin sahaja akan ditafsirkan
sebagai satu perang psikologi bagi melekakan BN atau bagi melemahkan
semangat PAS. – HARAKAHDAILY
Penulis ialah Pengarah, Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan