Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohamad Azhar dan Muhammad Asyraf Azlan
SHAH ALAM: Amanah patut ‘sedar diri’ ia pernah bantu Umno-BN menang sebelum menuduh PAS membantu kemenangan parti kerajaan itu pada pilihan raya umum akan datang, kata bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman.
Beliau memberi contoh kemenangan Umno-BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar pada tahun lalu berikutan tindakan Amanah mewujudkan pertandingan tiga penjuru.
Dalam pilihan raya kecil itu, Abdul Rani calon PAS dan Azhar Abdul Shukur yang mewakili Amanah berdepan dengan calon BN, Budiman Zohdi.
"Jika itulah pendirian Amanah dari awal itu bagus, tetapi mengapa apabila saya bertanding di Sungai Besar untuk melawan Umno mereka masuk campur?
“Sepatutnya mereka biarkan saya melawan Umno. Mengapa Amanah masuk dan mewujudkan pertandingan tiga penjuru, malah dibantu oleh pimpinan DAP. Ia akhirnya memberi kemenangan kepada Umno-BN," bidas Abdul Rani.
Malah, ketika PAS bersendirian dalam PRK Sungai Besar itu, ia masih mampu mendapat undi lebih besar berbanding calon Amanah.
"Malah ketika itu PAS juga bersendirian. Saya juga mendapat undi lebih dari 6,000. Bayangkan jika ia hanyalah pertandingan satu lawan satu sahaja dengan Umno, sudah tentu lebih banyak undi yang kita dapat," tegasnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru itu mengulas kritikan Amanah terhadap pengumuman PAS yang mahu bertanding sebanyak 45 kerusi DUN dan 15 kerusi Parlimen di dalam PRU14 kelak.
Semalam, Pesuruhajaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad turut mengumumkan senarai calon parti itu termasuk bukan Islam dan sudah dihantar kepada PAS Pusat untuk dinilai.
Iskandar juga berkata penambahan kerusi yang akan ditandingi PAS di Selangor bergantung kepada perjanjian yang dibuat bersama Pakatan Rakyat (PR) pada 2013 selain suasana politik semasa.
Pengumuman tersebut bagaimanapun dilihat kurang disenangi Amanah yang mendakwa PAS akan rugi jika terus dengan pendirian bergerak secara bersendirian dalam PRU14, apatah lagi secara tidak langsung membantu kemenangan Umno-BN.
Abdul Rani ketika mengulas kenyataan itu mengingatkan Amanah mengenai 'hutang' kerusi PAS yang dibawa lari parti itu.
"Apabila kita serang Amanah, atau pun mana-mana pihak, mereka bising? Sedangkan mereka tidak sedar mereka yang serang, bawa lari kerusi kami," tegasnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan