Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI
– Pengerusi Biro Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Haji
Omar Kassim menyifatkan perkhidmatan kiriman doa dari Tanah Suci, Valet
Doa sebagai perniagaan yang mengambil kesempatan ke atas orang Islam
yang kurang memahami agama.
Mengakui
terkejut dengan perkhidmatan itu, beliau berkata, eksploitasi tersebut
jelas memberi gambaran yang memalukan kepada Islam sehingga menjadikan
doa sebagai bahan perniagaan.
“Doa
sebaiknya dibuat secara peribadi, ikuti adab-adabnya, InsyAllah akan
dimakbulkan. Ia sangat mengejutkan pengiklanan perkhidmatan itu hingga
tergamak sebut jaminan doa akan dimakbulkan.
“Tadahlah
tangan kepada Allah, mintalah dengan setulus hati sebagaimana kefahaman
kita dari firman Allah dalam surah Al-Baqarah, 286, Sesungguhnya Allah
itu amat dekat dengan hamba-hambaNya, mintalah dariNya nescaya akan
dikabulkan,” katanya kepada Ismaweb, hari ini.
Mengulas
lanjut katanya, umat Islam perlu memahami konsep doa yang terbaik,
dilaksanakan secara individu dengan menjaga adabnya tanpa perlu kepada
perantaraan lain.
“Doa
adalah kewujudan rasa cinta seorang hamba kepada Allah s.w.t, sekali gus
pengakuan hakikat permohonan dan meminta pertolongan hanya daripadaNya.
Hakikat doa sebenarnya juga meminta kekuatan dari Allah s.w.t.
“Dalam doa
terdapat makna memuji Allah s.w.t, ada pengakuan bahawa Allah Maha
Mulia lagi Maha Pemurah. Itu semua menjadi ciri pengabdian dan
penghambaan. Kalau berdoa dengan bersungguh dan mengikut adab-adabnya,
namun masih belum dikurniakan, jangan kecewa.
“Keputusan
Allah adalah yang terbaik. Mungkin ia sebenarnya dimakbulkan melebihi
daripada apa yang dipohon atau ia menolak dengan musibah atau penyakit
lebih banyak daripada apa yang dipinta, atau diberikan ganjaran pada
hari kiamat,” katanya.
Menurut
beliau, umat Islam mesti memahami adab-adab berdoa yang disyariatkan,
antaranya bertaubat kepada Allah dan mengembalikan hak orang yang
dizalimi.
“Selain
itu, memulai dengan zikir kepada Allah dan memujinya dan agar
mengakhirinya dengan selawat atas Nabi s.a.w, meminta bersungguh-sungguh
kepada Allah dan mengulang-ulang permintaan dengan suara yang tidak
keras.
“Yakin dan
bersangka baik dengan Allah, memilih waktu-waktu mustajab seperti
antara azan dan iqamah, ketika malam dinihari tatkala orang lain sedang
tidur, ketika sujud, ketika bermusafir dan makan serta berpakaian dari
sumber yang halal,” katanya.
Perkhidmatan
Valet Doa mula tular di laman sosial selepas ramai netizen mengecam dan
kesal terhadap perniagaan kiriman doa untuk dibacakan di Makkah,
kononnya ditawarkan kepada mereka yang tidak mampu ke Tanah Suci.
Perniagaan
itu menawarkan perkhidmatan serendah harga RM250 sehingga RM5,000
kepada orang ramai melalui pakej tertentu seperti VVIP serta pakej King
Salman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan