ALOR SETAR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berterusan
memburuk-burukkan inisiatif kerajaan membantu golongan kurang
berkemampuan termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Program Khas
Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bukan sekadar mendakwa bantuan tersebut sebagai rasuah, Pengerusi Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu ketika berceramah di Kuala Kedah,
dekat sini semalam turut menyifatkan penerima-penerima bantuan berkenaan
umpama pengemis.
Memetik laporan Utusan Malaysia, Dr. Mahathir juga mempertikaikan
bantuan sara hidup untuk nelayan di negara ini yang didakwanya cuba
dimanipulasi untuk meraih undi walaupun ia dilaksanakan bukan sekadar
pada musim pilihan raya umum (PRU).
“Kalau kita bagi duit BR1M hanya kerana nak dapat sokongan itu adalah rasuah, rasuah salah dan ditolak oleh agama Islam.
“Tambah bila bagi duit suruh orang pergi haji bukan niat baik tetapi
buat kerja haji undilah kami bila niat tak kena tak jadi haji jauh
sekali jadi haji mabrur.
“Kita dijadikan pengemis. Saya dengar nelayan dapat gaji? Orang Kuala
Kedah, betul ka? Bot tak dapat dah, enjin pun tidak... dapatlah RM200,
RM300,” dakwanya yang kembali berkongsi pentas bersama pemimpin DAP dan
PKR pada program berkenaan.
Berceramah lanjut di pentas sama Dr. Mahathir turut membayangkan tidak
mungkin wujud kerjasama pakatan pembangkang dengan Pas menjelang PRU
nanti.
“Undilah komponen parti pembangkang sama ada Bersatu (PPBM), DAP,
Keadilan (PKR) dan Amanah (PAN). Undilah mereka kerana dalam PRU kita
akan letakkan calon sebagai parti campuran pembangkang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan