Rabu, 15 Februari 2017

Syura Ulama: Mahathir tak perlu cium kaki pemimpin PAS

Shakira Buang


Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad tidak perlu mencium kaki pemimpin PAS tetapi cukuplah sekadar menghormati pendirian parti Islam itu jika mahu kerjasama.

Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata ini kerana ia adalah syarat penting dalam membina suasana yang harmoni sesama parti.

"Dr Mahathir tidak perlu mencium kaki pimpinan PAS tapi cukuplah saling menghormati pendirian politik masing-masing jika mahu bekerjasama.

"Antara punca kegagalan Pakatan Rakyat dulu ialah apabila DAP dan PKR tidak belajar menghormati pendirian politik masing-masing.

"Itu adalah syarat penting dalam bekerjasama iaitu membina suasana yang harmoni. Tapi yang ketara Dr mahathir selalu menyerang PAS sama seperti DAP," kata Khairuddin kepada Malaysiakini.

Mahathir pada sidang medianya di Putrajaya semalam berkata tempoh sebulan yang diberikan BERSATU kepada PAS untuk membuat keputusan sama ada bersama pakatan pembangkang bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang adalah mencukupi.

"Kami telah cuba untuk menyelesaikan (kebuntuan) ini. Kami amat bersabar. Kami tidak berkata apa-apa yang buruk tentang PAS. Kami telah melakukan segala yang mungkin.

"Apa lagi boleh kita lakukan. Saya tidak mahu merangkak dan mencium kaki pemimpin PAS. Cukuplah," kata Mahathir.

Mengulas lanjut Khairuddin yang juga anggota Parlimen Kuala Nerus berkata PAS telah menjelaskan pendirian politik mereka dan kini terpulang kepada BERSATU.

"PAS telah menjelaskan pendirian politik dalam bekerjasama iaitu tidak bekerjasama dengan DAP dan AMANAH, Dr Mahathir perlu hormati pendirian kami.

"Jika tidak bersetuju maka BERSATU boleh meneruskan langkah politik mereka bersama Pakatan Harapan. PAS tidak menghalang," kata Khairuddin.


Tiada ulasan: