Jumaat, 10 Februari 2017

Rafizi dakwa pembiayaan JPA, MARA juga lewat

MALAYSIAKINI


Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata beliau menerima pelbagai aduan daripada pelajar di bawah program biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai kelewatan bayaran elaun kepada mereka.

Rafizi berkata masalah itu sama dengan kelewatan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membuat bayaran pinjaman kepada penuntut di 11 universiti awam (UA).

"Saya juga mendapat aduan yang sama dari pelajar-pelajar di bawah tajaan MARA di luar negara yang mendakwa berlaku kelewatan pembayaran elaun; serta pelajar-pelajar di Institut Pendidikan Guru (IPG).

"Oleh yang demikian, kelewatan pembayaran oleh PTPTN dan kelewatan pembayaran pembiayaan oleh badan-badan kerajaan yang lain seperti JPA bukan sesuatu yang berlaku sekali sahaja (“isolated cases”)" katanya.

Terdahulu, PTPTN berkata kelewatan itu disebabkan agensi berkenaan belum menerima butiran pengesahan status pengajian pelajar daripada universiti terbabit.

Timbalan Ketua Eksekutif PTPTN, Mastura Mohd Khalid

dilapor berkata agensi itu mempunyai polisi dalam menetapkan jadual pembayaran pinjaman kepada UA dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS).

Sehubungan itu pinjaman yang sepatutnya diagihkan akhir Januari lalu, kini ditangguhkan hingga awal Mac.
Bagaimanapun, Rafizi melahirkan kebimbangan bahawa kelewatan pembayaran pembiayaan membabitkan PTPTN, JPA dan MARA mungkin disebabkan kekurangan dana.

Beliau turut berkongsi dua daripada 15 e-mel aduan pelajar yang diterimanya berhubung kelewatan itu.

"Saya menyeru supaya menteri-menteri yang bertanggungjawab iaitu Datuk Seri Idris Jusuh (Menteri Pendidikan Tinggi) dan Dato’ Seri Johari Ghani (Menteri Kewangan II) memberi maklumbalas segera dengan menyiarkan rekod pembayaran pembiayaan pendidikan kepada pelajar-pelajar tajaan (biasiswa atau pinjaman) badan-badan kerajaan supaya rakyat boleh menentukan bahawa kelewatan ini bukan berpunca dari meruncingnya kedudukan kewangan kerajaan," katanya.


Tiada ulasan: