Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Adalah
menarik memerhatikan gelagat Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (PPBM) Tun
Dr Mahathir Mohamad untuk tempoh terdekat ini berhubung usaha untuk
menjalin kerjasama dengan PAS menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke 14.
Ini
kerana meskipun bersetuju pada asasnya pendekatan “satu lawan satu”
dalam menentang Umno-BN, PAS dilihat meletakkan pelbagai syarat dan
teori kerjasama dengan PPBM.
Sudah tentu Mahathir kurang selesa dengan protokol ini. Pengamat
caragaya politik Mahathir sudah pasti akur bahawa agar sukar memujuk
apatah lagi “memaksa” beliau bersetuju dengan keadaan di mana beliau
tidak “menerajui keadaan”.
PAS mahu semua parti yang hendak bekerjasama dengannya supaya
menghormati prinsip perjuangannya untuk Islam jadi landasan pentadbiran
negara.
Malah PAS sering mengingatkan bahawa ia tidak mahu mana-mana kerabat
politik mencampuri prinsip al Quran dan hadis yang hendak diterapkan
dalam pentadiran negara.
PAS juga mensyaratkan kerjasama politik yang hendak dijalin dengan
PPBM dan juga rakan tahaluf siayasinya, PKR, tidak membabitkan
penyertaan DAP dan parti Amanah.
Malah
PAS, juga menawarkan supaya PKR dan PPBM menyertainya dalam blok
politik ketiga -- Gagasan Sejahtera -- berserta Berjasa dan Parti Ikatan
Rakyat Malaysia menjadi satu koloborasi politik baru menghadapi PRU 14.
Sehubungan itu, PAS melontarkan idea supaya Amanah dan DAP yang
ditinggalkan PKR dan PPBM supaya bergabung untuk menyelesaikan isu
pembahagian kerusi untuk ditandingi kedua-dua parti itu.
Paling menikam ego Mahathir ialah apabila PAS “menggertak” PPBM bahawa
kerjasama di antara PPBM dan PAS tidak mungkin terjalin jika PPBM
menjadi kerabat Pakatan Harapan (PH) yang turut disertai Amanah dan DAP.
Ini belum mengambil kira siri serangan peribadi yang dilontarkan oleh
beberapa pemimpin kanan PAS terhadap Mahathir yang semakin pedas dan
meningkat.
Ada yang melabel Mahathir sebagai angkuh. Ada yang kata bahawa fe’el
buruk politik Mahathir adalah sentiasa mahu menjadi “taiko” dalam apa
bidang sekalipun membuatkan PPBM tidak serasi dengan PAS.
Malah
PAS mempersoalkan hiraki politik dalam PPBM sendiri siapa sebenarnya
yang menjadi pemandu mutlaknya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjawat
kedudukan presiden, atau Mahathir sendiri sebagai Pengerusi?
Namun isyarat awal daripada Mahathir ialah mengambil sikap menjauhkan
diri daripada isu kerjasama ini. Mungkin baginya sudah memadai untuk
beliau mengisytiharkan bahawa tempoh yang diberikan pada rundingan PAS
dengan PPBM sudah luput.
Bagaimanapun beberapa pemimpin PPBM masih mahu terus berunding. Malah
rundingan terakhir yang dipimpin oleh anaknya, Datuk Seri Mukhriz, yang
ditandai oleh persetujuan PAS-PPBM mahu memperhalusi asas kerjasama
disambut baik oleh PKR.
Ramuan politik yang dicerna oleh PAS menjurus pada matlamat tidak mahu
Mahathir mencampuri urusan strategik kerjasama pembangkang. Namun pada
masa ini Mahathir seolah bungkam dengan syarat dan teori politik PAS.
Atau, mungkinkah Mahathir menyimpan “kuku politiknya” supaya PAS terus
sibuk melayani PPBM dan juga Pakatan Harapan dan lantas “melalaikannya”
memberi penjelasan tuntas pada rakyat prinsip barunya – “budaya politik
matang dan sejahteranya”?
Dalam
kerangka budaya politik baru ini, PAS bersedia bekerjasama dengan
mana-mana parti politik sekalipun “jika kerjasama itu mampu menukar
sistem pentadbiran negara kepada cara Islam”.
Ini bermakna PAS juga tidak menutup pintu untuk bekerjasama dengan
Umno. PAS sebelum ini menegaskan matlamatnya bukan untuk menjatuhkan
mana-mana pemimpin kerajaan. Sebaliknya ia mahu menukar sistem
pengurusan negara.
Mungkinkah Mahathir “mengizinkan” anaknya dan presiden partinya
meneruskan rundingan demi membuat PAS “sibuk dan leka” dan akhirnya
tertinggal bas Pakatan Harapan dan PPBM dan juga kenderaan politik Umno?
Dengan melewat-lewatkan PAS meluruskan pendirian politiknya, Mahathir
mungkin mengharapkan rakyat akan semakin ragu dengan “keikhlasan
perjuangan dan halatuju PAS” dan akhirnuya menjauhi parti Islam itu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan