Oleh Shuhaniza Said & Wan Anis Ilyani Wan Mohamad Azhar
PETALING JAYA: Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid
Ibrahim hari ini sah menyertai DAP namun diberi amaran oleh penasihat
parti itu, Lim Kit Siang agar beliau tidak menjadi 'primadona'.
"Ramai bertanya sama ada benar Zaid akan sertai DAP dan berapa lama boleh tahan dalam DAP.
"Saya kenal Zaid sudah lama. Kita tahu pemikiran politik, betul, benar dan baik untuk negara.
"Saya percaya kita boleh belajar daripada perkara lepas-lepas dan saya
percaya Zaid boleh menjadi 'team player' dan bukannya primadona," tegas
Kit Siang pada majlis itu yang turut dihadiri Pengerusi Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kit Siang akur bahawa beberapa pemimpin Melayu-Islam sebelum ini meninggalkan DAP.
Antara mereka yang kecewa dengan perjuangan parti itu dua bekas Naib
Pengerusi, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim dan Zulkifli Mat Noor.
Sebelum itu Zaid berkata beliau menyertai DAP untuk meneruskan prinsip
perjuangannya setelah kecewa berbuat demikian dengan PKR dan Parti
Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA).
"Saya ingin mengumumkan hari ini bahawa saya telah sertai DAP. Saya
bergiat dalam bidang politik dengan prinsip yang tak berubah. Pemimpin
kena ikhlas dan bertanggungjwab kepada rakyat, mereka kena adil kepada
semua pihak. Saya percaya DAP mampu membantu dalam mencapai matlamat
tersebut," katanya dalam sidang media bagi mengumumkan penyertaannya
dalam DAP.
DAP diramalkan akan meletakkan Zaid sebagai calon kerusi Parlimen
Gelang Patah di Johor Bahru bagi membolehkan Kit Siang bertanding di
kawasan lain.
Ditanya mengenai spekulasi itu Zaid berkata beliau belum ditawarkan sebarang kerusi dan "tidak ada sebarang perbincangan".
"Ia akan dibincangkan kemudian," katan Zaid ringkas.
Tambah beliau, penyertaannya ke dalam parti itu bukan untuk mendapat apa-apa jawatan.
Sebaliknya ujar Zaid, tujuannya adalah untuk menarik sokongan akar umbi
Melayu terhadap parti itu yang sering ditanggapi sebagai anti-Islam dan
anti-Melayu.
"Harapannya begitulah, sekurang-kurangnya dapat perjelaskan cita-cita
(Datuk Seri) Najib n Tengku Adnan (Tengku Mansor) mengarut.. saya
percaya orang Melayu bijaksana," katanya lagi.
Dalam pada itu, Dr Mahathir turut senada dengan Kit Siang, dengan
meminta agar Zaid tidak menjadi seperti 'katak', istilah yang digunakan
bagi pemimpin yang sering berpindah-randah dari satu parti ke parti yang
lain.
"Duduk la dalam DAP ni lama-lama sikit. Sebab banyak katak.. sifat katak kena diketepikan dalam parti lawan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan